CHEMOR: Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana ahli parti yang melakukan sabotaj terhadap parti.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, tiada kompromi terhadap mereka yang telah melakukan sabotaj, yang dianggap suatu kesalahan sangat besar.

“Yang ini kita tidak akan bertolak ansur, bukan hanya dalam konteks Barisan Nasional (BN), malah juga di kalangan pembangkang.

“Dalam soal mereka yang akan mensabotajkan parti atau sedang mensabotaj parti, kita sedang memantau mereka,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan geran hak milik dan surat tawaran kepada lebih 350 peserta Rancangan Pertanian Berkelompok (RPB) Ulu Chemor (157 org) dan surat tawaran peserta RPB Ulu Samak (200 org) di Dewan Komuniti Chemor.

Beliau yang juga Pengerusi BN Perak berkata, sekiranya ada laporan, ia akan dikaji terlebih dahulu untuk mengetahui kesahihannya.

“Kadang-kadang kita hanya menerima laporan yang menyatakan orang ini sipolan, sipolan telah melakukan atau cuba mensabotaj parti sedangkan dia tidak melakukannya.

“Biasalah pandangan-pandangan ataupun khabar-khabar angin, walhal dia tak buat pun macam tu.

Apapun yang paling penting ialah sesiapa sahaja yang membuat tindakan-tindakan mensabotaj akan diambil tindakan,” tegas beliau.

Dr Zambry berkata, usaha saat-saat akhir untuk promosi calon tertentu adalah perkara biasa setiap kali menjelang musim plihanraya.

“Bukan hanya pilihan raya kali ini aje, setiap kali pilihan raya tetapi dulu tak ada sistem whatsapp, ada gunakan telefon, ada rombongan-rombongan datang dan sebagainya.

“Ini adalah lumrah tetapi tidak semestinya akan menggagalkan apa yang telah diputuskan oleh pucuk pimpinan,” ujarnya.

Dalam konteks BN, tambahnya, apabila keputusan mengenai calon telah dibuat oleh kepimpinan, khususnya oleh Pengerusi BN (Datuk Seri Najib Tun Razak) melalui proses musyawarah, maka itulah calon yang perlu diberikan sokongan yang tidak berbelah bagi.

BERITA BERKENAAN : Pujuk Anak Agar Tidak Termakan Dengan Politik Kebencian – Zahid

1/4