IPOH: Perak tidak akan berkompromi dengan aktiviti yang boleh mencemarkan alam sekitar, walaupun ia dilakukan di atas tanah milik persendirian.

Tindakan tegas akan diambil, termasuk membawa pengusaha berkenaan ke muka pengadilan sekiranya terdapat bukti berlaku pencemaran.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menegaskan, kerajaan negeri memandang serius kes-kes alam sekitar dan pasukan khas yang ditubuhkan akan terus membuat pemantauan.

Menurut beliau, kerajaan negeri telah menerima beberapa laporan penternakan ayam dan babi yang telah menyebabkan pencemaran sungai, yang turut menjejaskan pendapatan nelayan darat.

“Kita akan terus mengambil tindakan-tindakan ini kalau sekiranya berlaku pencemaran dan dilakukan dengan secara tidak mengikut saluran undang-undang, walaupun tanah dia.

“Dia akan kata ini tanah dia dan tidak melanggar undang-undang, tetapi biasanya dalam geran tanah akan ada syarat nyata tanah itu,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di sini pada Jumaat.

Dalam masa sama, Dr Zambry turut meminta kerjasama orang ramai untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku pencemaran di kawasan mereka.

Pada majlis itu, beliau turut mengagihkan sumbangan goodies ramadan kepada penjawat awam dan media.