IPOH: Kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan bagi memastikan keselamatan rakyat di negeri ini sentiasa terjamin.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, langkah-langkah keselamatan sentiasa diambil bagi mengelakkan sebarang kemungkinan.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada rakyat, khususnya pihak polis yang sentiasa membantu untuk memastikan keselamatan rakyat di negeri ini dari semasa ke semasa.

“Isu ini telah berlaku sejak beberapa lama, bukan sahaja di Perak tetapi juga di seluruh negara tetapi yang paling penting ialah melihatnya dengan berhati-hati dan bekerjasama dengan pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan Exco di pejabatnya di sini pada Rabu.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan baru-baru ini bahawa kawalan keselamatan di seluruh Perak sempena sambutan kemerdekaan pada hujung bulan ini akan ditingkatkan berikutan wujudnya ancaman daripada kumpulan militan Daesh.
Menurut Hasnan, elemen ancaman daripada kumpulan itu telah dikesan melalui risikan serta siasatan yang dilakukan oleh pihaknya.

“Kita tidak menerima ancaman itu secara terus melalui panggilan telefon atau sebagainya (tetapi) melalui siasatan terhadap individu yang ditahan sebelum ini dan pemantauan kita sendiri, wujud ancaman itu.

“Kita sedang dan telahpun mengambil beberapa langkah bagi memastikan tidak akan terjadi sebarang insiden tidak diingini,” katanya ketika sidang media selepas menyempurnakan majlis Perjumpaan dan Sesi Dialog Ketua Polis Perak Bersama Polis Bantuan Perak di sini pada Selasa.

Tambah Hasnan, antara tindakan yang telah diambil oleh pasukan polis Perak ialah meningkatkan rondaan di kawasan-kawasan tumpuan.

“Antara langkah yang telah diambil ialah meningkatkan kekerapan rondaan di mana ianya melibatkan 75 peratus kawasan di Perak ini, khususnya di tempat-tempat berisiko seperti rumah ibadat, bank dan tempat-tempat yang dikunjungi ramai.

“Setakat ini, ianya terkawal dan Perak masih lagi dalam keadaan amat selamat kerana pelbagai langkah pencegahan telah diambil,” ujarnya.

Jelas Hasnan lagi, setakat ini, seramai 18 individu berasal dari Perak telah ditahan atas penglibatan mereka di dalam kumpulan militan Daesh.