IPOH: Kerajaan negeri Perak menegaskan bahawa mereka tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan atlet yang akan mengambil bahagian di dalam Sukan Malaysia (SUKMA) Perak 2018.

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Modal Insan Negeri, Howard Lee Chuan How menegaskan persekutuan dan kesatuan sukan tiada kuasa terhadap keputusan kerajaan mengenai perkara tersebut.

“Dengan penuh hormat persekutuan dan kesatuan sukan tiada kuasa terhadap keputusan kerajaan memastikan keselamatan atlet,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliah mengulas dakwaan Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bahawa tiada pihak lain kecuali Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) boleh menentukan Velodrom Rakyat diiktiraf layak untuk menganjurkan pertandingan semasa SUKMA yang dijadualkan September ini.

Howard berkata, beliau sendiri sudah meninjau keadaan velodrom itu dan mendapati ia merbahaya untuk digunakan oleh atlet.

“Malah, bukan setakat treknya, keadaan velodrom itu sendiri seperti sebuah bangunan usang yang ditinggalkan.

“Jadi berdasarkan itu, pendirian saya kekal bahawa tiada atlet akan berlumba di atas trek itu,” ujarnya.

Terdahulu, Howard mengumumkan acara trek berbasikal pada SUKMA ke-19 itu mungkin dibatalkan.

Namun, semalam Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Lokman Hakim Ali dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail turun padang untuk meninjau sendiri keadaan velodrom tersebut.

“Saya berkesempatan bertemu KSU KBS, Ketua Pengarah MSN yang ditemani kontraktor yang mengetuai projek RM11 juta di pejabat saya petang semalam.

“Selepas menerima taklimat rentetan kronologi kompleks dan penjelasan antara jabatan, saya berpendirian gelanggang itu belum siap.

“Menurut PKBM, gelanggang itu perlu mendapat pengiktirafan UCI yang akan dilakukan Ogos ini,” katanya.

Beliau menambah, pihak kontraktor telah memaklumkan bahawa kerja membaiki dan membersihkan (trek sahaja) akan siap hujung Julai untuk membolehkan ‘homologation’ dilakukan.

Howard menegaskan, walaupun UCI akan memeriksa dan mengesahkan kesediaan velodrom tetapi kata putus adalah di tangan kerajaan.

“Setakat ini keputusan membatalkan enam acara trek itu kekal kecuali PKBM boleh meyakinkan kami velodrom ini selamat untuk digunakan,” ujarnya.