IPOH: Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, kerajaan negeri Perak tidak akan berkompromi terhadap peneroka tanah secara haram.

Titah baginda, sikap berlembut dan bertolak ansur, akan memberikan mesej yang salah dan bakal menggalakkan berlaku lebih banyak penerokaan tanah secara haram.

Baginda bertitah, kesedaran rakyat untuk menyayangi dan meletakkan nilai yang tinggi kepada hutan penting dipupuk.

“Pembangunan, bukan lesen menghalalkan perbuatan memusnahkan alam. Pembangunan yang tidak dirancang secara seimbang, dan pembangunan yang dilaksanakan tanpa kelulusan laporan EIA, khususnya di kawasan tanah tinggi akan merosakkan alam sekitar.

“Pembangunan yang tidak terkawal, yang dilakukan tanpa kebenaran di Tanah Tinggi Kinta (Perak) yang bersempadan dengan Cameron Highland (Pahang) dan Lojing (Kelantan), dilaporkan telah mengakibatkan berlaku hakisan dan kelodak yang serius,” titah baginda.

Baginda merasmikan pembukaan Penggal Kedua Dewan Negeri Yang Keempat Belas Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Sultan Nazrin bertitah, pencemaran alam sekitar wajib diberikan perhatian serius dan bencana daripada sisa toksik yang berlaku di Pasir Gudang, Johor, hendaklah dijadikan pengajaran.

Titah bertitah, Jabatan Alam Sekitar bersama Kerajaan Tempatan hendaklah bertindak tegas, melakukan pemantauan berkala, dan memastikan tahap piawaian alam sekitar, dipatuhi.