IPOH: Kerajaan negeri Perak membuat keputusan untuk menukar nama Amanjaya yang melibatkan bangunan atau tempat ditukar kepada nama di mana bangunan atau tempat itu berada.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, keputusan itu bertujuan mempopularkan tempat tersebut berbanding menggunakan jenama Amanjaya.

Menurutnya, semua tempat, bangunan awam dan dataran tidak perlu menggunakan jenama tersebut, sebaliknya perlu kekal dengan nama tempat.

“Dulu memang banyak nama Amanjaya, tetapi kita tukar nama kepada tempat berkenaan.

“Sebelum ini kerajaan berpandangan mungkin nak selaraskan tetapi pentadbiran hari ini, kita nak naikkan nama tempat berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan syarikat berkaitan kerajaan, Digital Perak Corporation Holdings di sini, pada Khamis.

Ahmad Faizal berharap agar nama-nama itu akan dikekalkan walau siapapun yang memerintah.

“Tidak perlu tukar nama lain sebab nama tempat, dataran, bangunan awam tidak perlu dipolitikkan. Kalau nama Stadium Perak kita kekalkan Stadium Perak, tdak perlu ubah kepada Stadium Perak Harapan atau sebagainya.

“Kalau sekiranya kerajaan bertukar tidak perlu lagi ubah kepada nama lain, kekal sahaja nama tempat itu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai satu surat daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak mengenai penjenamaan semula Terminal Amanjaya kepada Terminal Meru Raya dan Terminal Bas Kampar kepada Terminal Kampar Putra yang tular di media sosial sejak dua hari lalu.

Beliau berkata, Bulatan Amanjaya di Meru Raya turut ditukar nama kepada Bulatan Sultan Azlan Shah sebagai mengenang jasa dan sumbangan baginda kepada Perak.

Jenama Amanjaya diperkenalkan ketika pentadbiran kerajaan Barisan Nasional di bawah Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.