KUALA LUMPUR: Felda Global Ventures Holding Bhd (FGV) menyokong hasrat kerajaan yang mahu membebaskan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu daripada campur tangan politik.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad, berkata tanpa pembabitan atau campur tangan politik, syarikat dapat diuruskan oleh pengurusan yang profesional tanpa masalah.

Dalam taklimat dengan Majlis Penasihat Kerajaan, beliau berkata, pihaknya diberi jaminan bahawa tiada lagi campur tangan orang politik dalam pengurusan FGV.

“Saya tak boleh kongsi apa lagi, tetapi secara umumnya saya sangat menyokong kerajaan baharu ini yang memberi kebebasan kepada GLC termasuk FGV untuk bertindak sendiri.

“Tanpa campur tangan daripada (ahli) politik, membiarkan syarikat ini diurus golongan profesional . Kita sangat suka dan menerimanya. Apa-apa pun, kita sememangnya diberi jaminan tiada lagi campur tangan politik,” katanya kepada pemberita selepas hadir taklimat dan mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham di sini, hari ini.

Ditanya adakah Majlis Penasihat Kerajaan membangkitkan nama-nama ahli politik seperti bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad, beliau berkata ia tidak berlaku.

Beliau juga tidak mahu memberi sebarang komen berhubung pembabitan ahli politik dalam FGV ketika zaman pemerintahan sebelum ini.

Mengulas lanjut mesyuarat itu, beliau berkata, cadangan yang diutarakan amat bagus.

“Cadangan yang diberi memang bagus, tetapi semuanya perlu dimaklumkan terlebih dulu kepada Ahli Lembaga Pengarah.

“Banyak isu dan perkara untuk penambahbaikan. Masa depan FGV akan kembali cerah berdasarkan cadangan diberi,” katanya – berita harian