KUALA LUMPUR : Tiada lagi perang poster pada pilihan raya akan datang kerana ia dilhat sebagai satu pembaziran.

Itu antara cadangan Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) yang akan dikemukakan kepada kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk penelitian lanjut.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, perang poster yang berlaku setiap kali pilihan raya disifatkan terlebih buat.

“Kami akan cadangkan tiada lagi ‘peperangan’ atau perang poster (dalam pilihan raya), tapi mungkin akan ada pengecualian (untuk kawasan tertentu seperti pedalaman) kerana pengundi mahu kenal calon.

“Perang poster ini banyak masalah. Di mana nak letak, perbelanjaan besar. Negara maju ada yang letak satu atau dua di tiap kawasan. Kita akan kaji secara mendalam,” katanya memetik portal Free Malaysia Today kepada pemberita selepas Program Libat Urus Terbuka Pembaharuan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya peringkat negeri Perak di Ipoh, semalam.

Program itu dihadiri kira-kira 200 orang termasuk penjawat awam dan parti politik.

Abdul Rashid berkata, ERC juga akan mencadangkan agar undi pos bagi pengundi luar negara dikendalikan sepenuhnya di negara terlibat oleh perwakilan bertanggungjawab, termasuk pengiraan kertas undi bagi memastikan mereka yang layak tidak terlepas peluang mengundi.

“Kita akan cadangkan undi pos itu tidak lagi dihantar balik ke sini (Malaysia). Perwakilan di sana yang uruskan hal ehwal pengundian, mereka yang edar kertas undi, kumpul kertas undi dan kira di sana,” katanya.

Menurutnya, pihak jawatankuasa juga sedang mengkaji kaedah terbaik bagi memudahkan urusan memfailkan petisyen keputusan pilihan raya, agar dapat didengar di mahkamah.

“Sekarang banyak petisyen ditolak di peringkat bawah kerana masalah teknikal, maka undang-undang perlu diubah suai, supaya menyenangkan semua pihak.

“Cadangan lain termasuk keperluan memberi pendedahan mengenai cara pengundian bermula di peringkat sekolah, misalnya ada negara yang pelajar bila hendak memilih sukan buat undian, maka pelajar tahu hak dan kuasa mengundi mereka,” katanya.

Abdul Rashid berkata, usaha itu perlu dimulakan dari peringkat awal dan bukan hanya apabila seseorang mencecah usia 18 tahun kerana golongan muda merupakan pengundi terbesar dalam negara yang perlu dilatih untuk berfikir secara positif, serta matang dalam membuat keputusan.

Tambah beliau, ERC akan mengemukan laporan awal hujung tahun ini kepada kerajaan, manakala laporan khusus dijangka pada September tahun hadapan.

Ditanya jika cadangan oleh pihaknya dapat diterima pakai pada pilihan raya negeri Sarawak ke-12 akan datang, Abdul Rashid berkata, ia agak mustahil memandangkan banyak perkara, termasuk dari segi perundangan yang sedang ditambah baik oleh SPR sekarang.