IPOH 28 April – Penguatkuasaan pendidikan yang dilanjutkan sehingga hujung tahun ini bagi larangan merokok di kawasan tempat makan tidak berhawa dingin akan difokuskan untuk mendidik masyarakat khususnya di kawasan luar bandar.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, walaupun perintah larangan merokok itu menerima maklum balas positif di kawasan bandar masih terdapat orang ramai yang tidak mematuhinya di kawasan kampung.

Menurut beliau, walaupun tempoh penguatkuasaan pendidikan itu dilanjutkan, ia tidak bermakna orang ramai boleh sesuka hati merokok di kawasan tempat makan kerana mereka yang masih berdegil merokok di tempat awam dan enggan mendengar nasihat, boleh dikenakan saman secara serta-merta.

Selain itu katanya, penguatkuasaan saman di kawasan-kawasan yang telah digazetkan sebagai larangan merokok sebelum ini seperti premis kerajaan, pusat beli-belah, pengangkutan awam, tempat makan berhawa dingin dan universiti, juga akan diteruskan kerana ia telah berkuat kuasa sejak 2004.

“Yang penting, peraturan larangan merokok bukan kita hendak menghukum tetapi ingin memberi peluang kepada perokok untuk berhenti merokok. Kalau tidak boleh kurangkan merokok tetapi jika masih tidak boleh, janganlah merokok dalam kalangan orang ramai.

“Bukan kita hendak menjadikan mereka sebagai penjenayah tetapi kita berhasrat untuk mengubah sikap mereka dari segi merokok. Bermula Januari tahun depan, tiada lagi lanjutan penguatkuasaan pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Kempen Derma Darah dan Hari Kesejahteraan Rakyat di Gelanggang Bola Keranjang, Kampung Baru Gunung Rapat di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE