PETALING JAYA: Berdepan kontoversi sehingga beberapa negeri bertindak menghalang Dr Zakir Naik berceramah, pihak jabatan agama Pahang bertindak sebaliknya apabila tidak mengeluarkan notis larangan terhadap pendakwah dari India itu.

Mufti Pahang, Abdul Rahman Osman berkata, walaupun tiada larangan ke atas Naik, penceramah itu perlu mematuhi syarat pihak berkuasa agama, termasuklah mendapat kebenaran daripada pihak polis.

“Kalau Zakir Naik nak berceramah tempat kita, kita benarkan tetapi bersyarat, antaranya perlu bercakap dalam mazhab Shafie, tentang Sifat 2O dan lain-lain selaras dengan fahaman yang diamalkan di Malaysia.

“Beliau juga perlu memohon kebenaran dahulu untuk berceramah, bukan sahaja Zakir Naik tetapi penceramah lain, termasuk rakyat tempatan sekalipun begitu,” katanya kepada FMT ketika ditanya sama ada Naik turut dilarang berceramah di Pahang.

Rahman turut mempertahankan dakwah Naik dengan berkata, perbandingan agama yang dibuat bukannya rasis atau menghina agama lain sebaliknya hanya bercakap tentang kebenaran dan kelebihan Islam.

“Zakir Naik cerita kebenaran Islam. Cerita kenapa Islam tidak terima agama lain dengan memberi sebab-sebabnya. Itu bukan satu penghinaan, itu satu benda hak yang perlu dijelaskan kepada masyarakat, kepada semua orang Islam,” katanya dengan menambah mana-mana pihak yang tidak berpuas hati perlu berhujah dengan Naik, bukannya menentang mengikut emosi.

Dalam perkembangan sama, Rahman berkata, majoriti rakyat Malaysia beragama Islam dan bukan Islam perlu menghormati penyebaran agama itu, di samping agama lain bebas diamalkan.

“Kalau kita bercakap soal Islam, menyebarkan agama Islam, mereka mesti terima tidak boleh tentang, kita bukan paksa. Kita hanya menyebarkan kepada orang Islam, mereka tidak boleh lawan, kalau lawan ertinya menentang agama Islam kerana ia termaktub dalam perlembagaan.

“Sabagai contoh kita (orang Islam) tinggal di negara bukan Islam seperti di Thailand, kalau orang Thailand berkata apa sahaja tentang agama mereka, iaitu Buddha lebih bagus dan agama lain tidak bagus.

“Itu hak mereka sebab majoriti di sana adalah Buddha. Begitu juga di Malaysia. Agama lain tidak boleh berdakwah hanya boleh amalkan sahaja. Kalau bukan Islam berdakwah dan kita berdakwah, akhirnya bertelagah.

“Mereka kena terima. Kita nak terang Islam yang sebenar, bukan paksa mereka masuk Islam. Ia selaras dengan perlembagaan Malaysia,” katanya.

Antara negeri yang melarang sementara ceramah Naik ialah Perlis, Sarawak, Sabah, Kedah, Melaka, Pulau Pinang dan Selangor sehingga keadaan kembali tenang.