IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menepis dakwaan yang tular di media sosial mengatakan kononnya hubungan beliau dengan parti DAP dalam keadaan ‘dingin’.

Beliau menyatakan demikian mengulas status media sosial Instgram yang berbunyi, ‘Kabo angin mengatakan MB Peja kalau program dianjurkan oleh DAP tidak boleh pergi atau dijemput..kononnya tak nak Cina sokong Peja betol ke?’.

Tegasnya, khabar angin itu tidak benar kerana beliau sentiasa diterima baik ketika menghadiri ke program yang dianjurkan oleh DAP sebelum ini.

“Ia tak betul..beberapa kali saya pergi ke program DAP dan disambut dengan baik, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta ramai pemimpin DAP bersama dengan saya.

“Semalam dan dua hari berturut-turut saya bersama dengan kepimpinan DAP di daerah Manjung, tiada apa-apa masalah.

“Saya rasa ini sekadar ‘rumours’ yang sekali lagi cuba dibangkitkan oleh orang ramai,” ujarnya.

Ahmad Faizal berkata demikian selepas menghadiri program mengedarkan limau mandarin sempena Tahun Baru Cina di Pasar Awam Chemor, di sini pada Ahad.

Jelasnya lagi, orang boleh bercakap apa sahaja namun yang penting kerajaan Pakatan Harapan dan hubungannya dengan rakan yang lain di dalam parti itu cukup baik dan tiada masalah.

“Saya tidak menipu dan saya tidak bercakap dari segi politik atau semata-mata hendak menyejukkan keadaan.

“Ini adalah keadaan sebenar, kalau ada masalah saya cakap, ianya tiada masalah,” katanya.