IPOH: Tidak ada negara yang memberi perkhidmatan kesihatan seperti yang diberikan oleh kerajaan Malaysia.

Penasihat Menteri Besar, Datuk V. Elango berkata, selain boleh dikatakan percuma, banyak lagi yang ditawarkan untuk menjaga kesihatan rakyat negara ini.

Beliau memberi contoh, doktor dan kakitangan perubatan sendiri turun padang untuk memberi khidmat kepada rakyat di peringkat akar umbi.

“Mana ada negara, doktor dan kakitangan perubatan turun padang, hanya ada di Malaysia sahaja,” katanya ketika berucap melancarkan program kolaborasi Bahagian Kesihatan Pergigian bersama Badan Agama Hindu peringkat negeri Perak di Dewan YRSK, Taman Pertama di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Kesihatan (Pergigian) Negeri Perak, Dr Syed Nasir Syed Alwi, Pengarah Bahagian Penjagaan Kesihatan Pergigian, Bahagian Kesihatan Pergigian KKM, Dr Nomah Taharim dan Timbalan Pengarah Cawangan Promosi Bahagian Kesihatan Pergigian KKM, Dr Sharol Sujak.

elango-kesihatan 2

Elango berharap rakyat Perak dapat menjaga kesihatan mereka dengan menjalani gaya hidup sihat di samping menjalani pemeriksaan secara berkala.

“Kos rawatan sudah tentunya lebih tinggi berbanding kos pencegahan, oleh itu pergilah ke pusat-pusat kesihatan kerajaan untuk menjalani pemeriksaan secara berkala bagi memastikan kesihatan adalah ditahap yang optimum,” ujarnya.

Beliau memberitahu, hasil saringan kanser mulut yang dijalankan di Perak tahun lalu, didapati 52 peratus berisiko dan 60 daripadanya disahkan mengidap kanser mulut.

Menurutnya, golongan yang berusia antara 50 dan 70 tahun kerapa ditemui menghidap kanser lidah yang dikaitkan dengan tabiat merokok, pengambilan tembakau, alkohol dan mengunyah daun sireh.

Pelbagai aktiviti diadakan sempena pelancaran itu, antaranya pemeriksaan gigi dan kesihatan di samping pertandingan mewarna di kalangan kanak-kanak.