IPOH: Tidak ada pelajar di negeri Perak yang dikategorikan sebagai penagih dadah kerana ujian ujian yang dijalankan ialah saringan air kencing.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Shamsudin Abu Hassan berkata, pelajar yang positif urin hanya dikategorikan sebagai mencuba dadah.

Justeru itu, kata beliau, tindakan susulan diambil oleh Jabatan Pendidikan Negeri dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan PEMADAM Perak dalam memberi kaunseling agar mereka balik ke pangkal jalan.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri memandang serius isu penyalahgunaan dadah, terutama yang melibatkan golongan remaja dan pelajar sekolah,” katanya ketika menjawab soalan lisan Salbiah Mohamad (BN-Temengor) di sidang Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Samsudin berkata, pelbagai program telah dijalankan berpandukan kepada Pelan Tindakan Strategik (PTS) PEMADAM 2015-2020 di mana tiga daripada fokus utamanya ialah program keluarga bebas dadah, pekerja bebas dadah dan pelajar bebas dadah.

Menurut beliau, kerajaan mengambil pelbagai pendekatan jangka pendek dan jangka panjang secara Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bagi memerangani dadah habis-habisan.

Katanya, pelbagai program dijalankan oleh kerajaan negeri bagi membasmikan penularan dadah, bukan sahaja di kalangan pelajar dan penagih baru, malah juga penagih yang sudah insaf.

Antaranya, kata beliau, program masih ada yang sayang dan hati ke hati bersama orang kena pengawasan (OKP), lawatan ke rumah OKP, memperbanyakkan program `outreach’ dan kaunseling yang turut melibatkan ahli keluar mereka.