BAGAN DATUK: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pembangunan fizikal secara kekal tidak akan dibina di Taman Negeri Pulau Sembilan.

Menurut beliau, perkara itu telah dititahkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan dipersetujui oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

“Pembangunan kekal hendaklah dibuat di tanah besar di Bagan Datuk manakala Pulau Sembilan akan dijadikan sebagai persinggahan (pelancong) sahaja,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengisytiharan Bagan Datuk sebagai daerah baharu ke-12 Perak di sini pada Isnin.

Majlis pengisytiharan itu disempurnakan Sultan Nazrin Shah di Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk dengan disaksikan lebih 10,000 penduduk Bagan Datuk.

Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datuk berkata, tiga elemen perlu diberi penekanan di Pulau Sembilan iaitu fenomena fitoplankton biru, persekitaran alam sekitar yang bersih serta kembara hutan dan pusing pulau.

Menurutnya, pelancong suka ke Pulau Sembilan berikutan tarikan fenomena fitoplankton biru yang hanya terdapat di tujuh lokasi di dunia.

“Kita akan memberi tumpuan kepada taman negeri. Dua minggu lalu, saya mengadakan lawatan ke sana bagi melihat beberapa kemudahan dan infrastruktur yang tidak kekal,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau meminta Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Perbadanan Taman Negeri Perak memantau perkembangan pulau tersebut bagi mengelak berlakunya sebarang gangguan.

Beliau memberitahu, buat masa ini terdapat tiga syarikat pelancongan yang mengendalikan kedatangan pelancong ke gugusan pulau tersebut.

“Saya tidak mahu ada pihak yang mengambil kesempatan melakukan pembangunan secara kekal di kawasan itu,” tegas Timbalan Perdana Menteri.

Menurutnya, kira-kira 3,500 pelancong dari dalam dan luar negara berkunjung ke pulau berkenaan setiap bulan dan jumlah itu dihadkan bagi mengelak sebarang pencemaran dan kerosakan.

Selain itu, katanya, Pulau Sembilan disenaraikan sebagai antara lokasi yang perlu dilawati sempena Tahun Melawat Perak 2017.

Taman Negeri Pulau Sembilan terdiri daripada sembilan gugusan pulau iaitu Pulau Agas, Pulau Lalang, Pulau Saga, Pulau Nipis, Pulau Rumbia, Pulau Payong, Pulau Buluh, Pulau Batu Putih dan Pulau Batu Hitam.