IPOH – Kerajaan negeri ketika ini tidak boleh melaksanakan pemberian status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada kampung-kampung baharu, katanya Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata, pemberian itu tidak akan dilaksanakan selagi Majlis Presden Pakatan Harapan (MPPH) dan Majlis Tanah Negara (MTN) memberi kata putus mengenai isu berkenaan.

“Ketika ini saya tidak boleh memberikan hak milik kekal itu, perancangan ketika ini ialah mengadakan sesi town hall secepat mungkin dan selepas itu saya akan membawa segala cadangan dan pendapat yang dikumpul kepada MMPH dan MTN.

“Mereka (MMPH dan MTN) yang akan membuat keputusan, apa sahaja keputusannya nanti saya akan turuti.

“Namun dalam masa juga baru, baru-baru ini kerajaan negeri telah meluluskan pemberian hak milik tanah 99 tahun untuk lebih 3,00 lesen pendudukan sementara (TOL) di serata Perak, bagi meringankan beban rakyat terlibat” katanya pada satu sidang media di sini pada Rabu.

Ahmad Faizal berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai status pemberian hak milk kekal berkenaan.

Menteri Besar tersebut juga turut menegaskan tidak timbul isu kerajaan negeri telah memungkiri janji yang dibuat di dalam manifesto Pakatan Harapan Perak mengenai pemberian hak milik kekal berkenaan.

“Kita janji ketika itu kerana memikirkan mungkin ia baik kepada negeri, tetapi bila dah dalam kerajaan negeri, tak semestinya ia baik untuk rakyat secara majoritinya, jadi ia perlu dipertimbangkan dan ditengok semula.

“Yang paling penting kita perlu ikhlas buat kebaikkan kepada rakyat, bukan untuk jadi Menteri Besar yang popular, kerajaan yang popular tapi akhirnya negeri jadi tidak baik dalam masa jangka panjang,” ujarnya.