IPOH 9 Julai – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia tidak menerima permohonan untuk membantu menyelamatkan 12 remaja yang terperangkap bersama jurulatih pasukan bola sepak mereka di dalam Gua Tham Luang di Chiang Rai, Thailand sejak 23 Jun lalu.

Ketua Pengarahnya, Mohammad Hamdan Wahid berkata, beliau percaya pihak berkuasa Thailand mempunyai keupayaan untuk melakukan misi berkenaan yang disifatkan sebagai amat rumit dan memerlukan masa.

“Selain itu kami tidak tahu karektor dan topografi gua tersebut, jadi amat mustahil untuk terlibat secara langsung kerana saya lihat komplikasinya memang tinggi memandangkan kawasan tersebut hanya diketahui oleh orang tempatan.

“Kalau kita hantar pegawai kita, mereka tidak tahu macam mana bentuk gua itu sendiri, kita takut akan memudaratkan penyelam-penyelam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sewaktu melakukan lawatan kerja rasmi ke negeri ini dalam siri lawatannya ke seluruh negara selepas dilantik menjadi Ketua Pengarah JBPM yang baharu.

Semalam, bekas Gabenor Chiang Rai, Narongsak Osottanakorn selaku ketua misi menyelamat operasi tersebut mengesahkan empat remaja berjaya diselamatkan dengan mangsa pertama yang dikeluarkan adalah paling lemah.

Kematian seorang bekas penyelam tentera laut Thailand yang kekurangan oksigen di dalam gua tersebut pada Jumaat lalu pula memperlihatkan operasi itu berbahaya termasuk kepada golongan profesional.

Dalam pada itu, Mohammad Hamdan berkata, bagaimanapun pihaknya mempunyai pasukan mencari dan menyelamat yang terlatih bagi menghadapi pelbagai situasi termasuk sesat atau kehilangan di dalam gua.

Beliau berkata, sekiranya berlaku insiden seumpama itu, pihaknya mempunyai langkah-langkah yang akan diambil termasuk menggerakkan logistik bersesuaian.

“Kita ada penanda aras yang kita panggil sebagai ‘Centre of Excellence’ (CoE). Sesetengah negeri, kalau berlaku terlalu tinggi kemalangan jalan raya atau kebakaran hutan dan tanah gambut, kita akan letakkan negeri itu sebagai CoE untuk kemalangan jalan raya atau kebakaran hutan.

“Jadi, ada pasukan-pasukan tertentu dan mereka ini boleh dikerahkan apabila diperlukan walaupun bukan di negeri itu yang mengalami bencana,” katanya. – UTUSAN ONLINE