Teluk Intan: Kawasan ini bakal menjadi ‘wal hasil balik asal’, seperti tajuk lagu Raja Pop legenda kelahiran Teluk Intan, Datuk Jamal Abdillah, jika Parlimen ini kembali dikuasai pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Abdul Rahman Nordin, 73, menyifatkan kemenangan Datuk Seri Mah Siew Keong pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 2014 sebagai rahmat kepada penduduk di Parlimen berkenaan apabila banyak masalah membabitkan kemudahan awam dan kebajikan rakyat dapat diselesaikan.

Bagaimanapun, katanya, penduduk akan mengalami masalah sama seperti selepas PRU-12 iaitu tiada pembangunan jika Parlimen Teluk Intan dan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya iaitu Changkat Jong dan Pasir Berdamar, dimenangi pembangkang.

Prihatin masalah rakyat

“Saya tinggal di Kampung Bahagia di sini, kira-kira 40 tahun lalu dan wakil rakyat sekarang termasuk calon BN bagi DUN Changkat Jong, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin begitu prihatin dengan masalah rakyat di sini, termasuk menyediakan lampu jalan dan memperbaiki sistem perparitan.

“Keadaan berbeza sebelum ini apabila kawasan ini diwakili pembangkang yang tidak peduli dengan keperluan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk Taman Melor, Sofiah Ishak, 56, berkata banyak masalah dihadapi penduduk di kawasannya dapat diselesaikan selepas Siew Keong kembali menjadi wakil rakyat, terutama membabitkan kebajikan golongan kurang bernasib baik seperti penduduk miskin, orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal.

Tanpa protokol

Beliau berkata, lebih menggembirakan apabila semua masalah itu dapat diselesaikan dengan cepat tanpa perlu melalui protokol atau menunggu terlalu lama.

Katanya, apa sahaja yang dimohon pihaknya bagi kemudahan dan kebajikan kira-kira 2,000 penduduk daripada empat taman perumahan di Taman Melor, segera diluluskan.

Peniaga, Zainal Abidin Hussin, 56, pula berkata, faktor anak tempatan membolehkan Siew Keong sentiasa mengambil berat dan begitu dekat dengan pelbagai masalah rakyat di situ.

Beliau berkata, apa yang lebih utama ialah beliau tidak meninggalkan Teluk Intan apabila kalah pada pilihan raya sebelum ini dan terus memberikan perkhidmatannya.

“Ia berbeza dengan calon parti pembangkang yang sentiasa mengemukakan calon bukan anak tempatan seperti DAP yang meletakkan bekas Ahli Parlimen Taiping berasal dari daerah Manjung, Nga Kor Ming bertanding di situ,” katanya – hmetro

BERITA BERKENAANCetak Akhbar Tanpa Permit, Tunggu Lepas 9 Mei – Ahmad Zahid