KERIAN: Seramai 87 pemilik tanah lesen pendudukan sementara (TOL) di Kampung Bagan Cina, Kuala Bagan Tiang, dekat sini, menjadi kumpulan pertama yang menerima surat tawaran hak milik.

Mereka menerima surat tawaran itu daripada Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia Dan NGO negeri, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong di dewan sebaguna kampung itu, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam Dan Infrasrtuktur, Pertanian Dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamahri yang juga ADUN Kuala Kurau dilan Pegawai Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri.

Hasnul berkata, pemberian surat tawaran itu membuktikan keprihatinan kerajaan negeri baharu untuk memastikan setiap rakyat di negeri ini memiliki sebidang tanah untuk tempat tinggal.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak mengamalkan pilih kasih, sebaliknya semua kaum di negeri ini, Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain berhak untuk menerima tanah itu.

“Dalam isu ni, kita tidak ada pilih kasih, orang Melayu pun berhak terima tanah, orang kaum Tionghua dan lain-lain kaum pun berhak menerima sebidang tanah.

“Jadi inilah antara usaha-usaha kita, saya difahamkan sejak tahun 40-an lagi wujudnya kawasan perkampungan ini, mereka telah merayu berulang kali.

“Apabila kita mengambi alih kerajaan, saya kira ianya agak zalimlah kalau kita tak menunaikan hasrat mereka itu sendiri,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan itu, pada Khamis.

Menurut Hasnul, pemberian itu adalah antara janji kerajaan Pakatan Harapan Perak iaitu memberi geran hak milik kepada supaya mereka boleh tinggal dalam keadaan selesa.

“Apabila kita memberi geran, maka mereka tidak ada merasa gundah gulana, susah hati. Sebaliknya, kalau duduk tanah TOL mungkin mereka memikirkan sejauh mana mereka boleh duduk di tanah itu, mungkin juga ada pihak lain yang akan mengambil alih,” ujarnya.

Katanya, sekiranya penduduk telah memiliki geran hak milik, nilai hartanah akan meningkat, sekaligus memudahkan mereka untuk membuat pinjaman daripada agensi kewangan.

Sambil merakamkan penghargaan kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak yang membantu merealisasikan hasrat kerajaan PH memberi hak milik, beliau difahamkan selepas ini, program yang sama akan dilaksanakan di kawasan DUN Kuala Kurau.

Sementara itu, beberapa penerima yang ditemui melahirkan rasa syukur dan gembira kerana penantian mereka untuk mendapatkan hak milik sejak berpuluh-puluh tahun akhirnya berhasil.

Salmah Saad, 56, berkata, dia telah tinggal di kampung itu sejak lebih 50 tahun lalu dan sentiasa mengharapkan suatu hari nanti akan mendapat hak milik kediamannya.

“Saya sangat-sangat terharu dan bersyukur kerana dberi geran, terima kasih kepada kerajaan kerana impian saya selama ini untuk mendapatkan hak milik akhirnya tercapai,” katanya sambil membayangkan kemungkinan untuk membuat sedikit penambahbaikan terhadap rumahnya.

Jirannya, Hamisah Din, 48 pula berkata, keluarganya memang sentiasa menanti-nantikan untuk mendapatkan hak milik tanah yang mereka duduki.

“Dulu nak ubahsuai rumah bimbang sebab tak ada geran asalkan, sekarang ni dah dapat geran asal kira hati tu rasa seronok tak terkatalah, nak ubah suai rumah sikit-sikit tu pun bolehlah, tak ada takut-takut, tak ada masalah apa dah sekarang ni.

Teoh Eng Sin, 48 pula berkata, pemberian itu membuktikan keprihatinan kerajaan PH untuk melunaskan janji mereka sebelum Pilihan Raya Umum pada 9 Mei lalu.

“Hari ini adalah hari yang bersejarah sebab kami dapat surat tawaran hak milik. Saya lahir di kampung ni 48 tahun lalu, bapak dan tok wan saya pun, semuanya duduk di sini, terima kasih kerajaan,” katanya.