PUTRAJAYA: Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terbabit setakat ini dalam kejadian gempa bumi yang melanda wilayah Hualien, Taiwan, Selasa lalu.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini, mengesahkan satu kejadian gempa bumi dengan kekuatan 6 pada skala Richter dilaporkan melanda wilayah Hualien yang terletak kira-kira 165 kilometer di tenggara Taipei.

“Menurut pihak berkuasa tempatan, setakat ini, empat dilaporkan terkorban dan 225 cedera, manakala 140 lagi masih hilang.

“Setakat ini, tiada laporan kematian atau kecederaan membabitkan rakyat Malaysia di sekitar kawasan berkenaan,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Kementerian Luar melalui Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia (MFTC) sedang memantau rapi situasi berkenaan.

“Rakyat Malaysia yang berada di Taiwan dinasihatkan berwaspada dan sentiasa berhubung dengan MFTC, selain mematuhi arahan serta nasihat keselamatan dikeluarkan pihak berkuasa Taiwan,” kata kenyataan itu.

Selain itu, rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh berhubung dengan MFTC di alamat 8th Floor, San Ho Plastic Building 102, Dun Hua North Road Taipei, Taiwan R.O.C, dan menghubungi +(886) 22713 2626; +(886) 905 121 171 (untuk kes kecemasan) atau e-melĀ mwtaipei@kln.gov.my.