SANDAKAN: Jabatan Hidupan Liar Sabah sukar menangkap pihak atau individu yang membunuh gajah disebabkan tiada saksi berani tampil meskipun ditawarkan ganjaran RM120,000.

Pengarahnya, Augustine Tuuga berkata, ganjaran yang ditawarkan itu adalah bagi maklumat yang boleh dijadikan bukti langsung serta boleh diterima di mahkamah.

Katanya, pihaknya memang ingin mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terbabit dalam pembunuhan gajah di negeri ini.

Maklumat daripada saksi amat diperlukan untuk menangkap pihak yang membunuh gajah termasuk pemburu dan mereka yang memasang perangkap, katanya dalam kenyataan mengulas kes pembunuhan gajah di kawasan hutan dan ladang kelapa sawit di negeri ini.

Terbaru, seekor gajah betina berusia antara 12 hingga 15 tahun ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala di kawasan Ladang Kelapa Sawit Bintang Emas di Tongod pada Sabtu lalu.

Ia adalah gajah ke 25 yang ditemui mati di kawasan hutan dan ladang kelapa sawit di Sabah sejak awal tahun ini. – BERNAMA