SUNGKAI – Kerajaan negeri melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan membuat penilaian baharu membina sistem saliran di Maahad Al Abbasiah bagi mengatasi masalah banjir di sekolah itu.

Exco Kerajaan Perak, A Sivanesan berkata, hasil lawatan hari ini, pihaknya mendapati sekolah menempatkan 209 pelajar itu tidak mempunyai saliran longkang.

Menurutnya, keadaan itu menjadi punca utama limpahan dari takungan air petang, semalam dan menyebabkan jalan utama serta tiga blok asrama ditenggelami air sedalam 0.3 meter.

“Dalam keadaan musim hujan ini, tindakan segera perlu diambil untuk mengelak kejadian lebih buruk.

“Satu saliran longkang sepanjang 200 meter perlu dibina dari takungan air ke luar kawasan sekolah sementara 300 meter lagi dibina di jalan utama.

“Untuk cadangan ini, JKR dan JPS akan nilaikan kos yang dianggarkan sekitar RM100,000,” katanya dalam lawatan kerjanya, hari ini.

Sekitar jam 5.30 petang semalam, lebih 100 pelajar lelaki dipindahkan ke tempat selamat selepas asrama mereka dinaiki air.

Kejadian berpunca apabila benteng tambahan yang dibina di belakang bangunan sekolah runtuh menyebabkan limpahan air deras beserta pasir dari sebuah takungan yang terletak kira-kira 20 meter masuk ke kawasan sekolah.

Sivanesan berkata, pembinaan sistem saliran itu merupakan satu-satunya jalan penyelesaian jangka panjang mengatasi isu banjir kilat di kawasan itu.

“Saya akan bawa cadangan ini ke mesyuarat Exco untuk mendapatkan peruntukan khas, ini ada kaitan dengan keselamatan pelajar, jadi tiada kompromi dan ia perlu jadi keutamaan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengetua sekolah, Adammee Kassim berkata, banjir semalam adalah kejadian ketiga dialami warga sekolah sejak tahun 2000.

Katanya, limpahan yang berlaku secara tiba-tiba ketika pelajar selesai solat asar itu menyebabkan banyak peralatan asrama tidak dapat diselamatkan.

“Tilam dan bantal banyak yang basah, barangan di bilik warden termasuk komputer riba juga rosak,” katanya.

Beliau berharap, segala bentuk bantuan dapat disegerakan untuk keselesaan pelajar memandangkan ada antara mereka menghadapi peperiksaan Sijil Syahadah I’dadi dan Thanawi pada 22 hingga 25 Oktober ini serta Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan depan.

“Pelajar ini ditempatkan di dewan sekolah dan sesi pembelajaran ditangguhkan sementara kerja pembersihan dilakukan dalam tempoh seminggu ini,” katanya.

Pemantauan dan operasi pembersihan yang dilakukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bidor serta 20 Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah Batang Padang turut disertai penduduk kampung dan sukarelawan.

Sebarang bentuk bantuan boleh disalurkan melalui akaun Maahad Al-Abbasiah Sungkai 2580 7510 300 735 (RHB Bank) atau menghubungi Adammee di talian 016-4411096 – sinar