IPOH: Bahasa Melayu amat mudah dipelajari kerana ia tidak mempunyai penanda masa mahupun penanda jamak sebagaimana yang ada pada bahasa lain dunia.

Sehubungan itu menurut isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Saripah Zulkifli, tiada sebab mengapa bangsa lain tidak mempelajari bahasa tersebut selain menggunakannya dalam pertuturan seharian.

IMG_3262

“Tak kenal maka tak cinta, tidak dinafikan bahasa Melayu amat mudah kerana tiada penanda masa, penanda gender (lelaki atau perempuan) malah tiada juga penanda jamak (sering digunakan dalam bahasa Inggeris untuk menunjukkan bilangan).

IMG_3271

“Bahasa Melayu juga dekat di hati saya oleh kerana dahulunya saya bertugas sebagai guru Bahasa Melayu di sekolah dan universiti, mengajar pelajar antarabangsa yang rata-ratanya sudah fasih berbahasa Melayu, jadi mengapa tidak kita di sini amalkannya,” katanya semasa merasmikan program Bulan Bahasa Kebangsaan 2017 dengan tema “Bahasa Kebangsaan Teras Jati Diri dan Patriotisme” di Dewan Besar S.M. Poi Lam (SUWA) pada Rabu.

IMG_3317

Hadir sama Pengetua S.M. Poi Lam, Leong Ping Chow, Pengarah Dewan Bahasa Dan Pustaka Wilayah Utara, Abdul Wahab Hamzah, Ahli Majlis Dewan Bandaran Ipoh dan Tokoh Seni Budaya Perak, Malim Ghazali PK.

Saripah turut menasihatkan supaya tidak menjadikan perbezaan bahasa dan budaya sebagai satu halangan dalam menyatupadukan masyarakat.

“Perbezaan yang ada seharusnya menjadikan kita lebih kuat dan saling hormat antara satu sama lain. Tahniah saya ucapkan kepada S.M. Poi Lam yang berjaya menganjurkan sambutan ini lebih awal daripada yang sepatutnya,” katanya yang juga Yang DiPertua BAIDURI.

Dalam pada itu, Leong Ping Chow berkata sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan itu dilaksanakan pada bulan April bagi menyemarakkan semangat para pelajar dan memperkasakan bahasa ini.

“Walaupun sekolah ini adalah sekolah persendirian, namun kami mahu bersama-sama menyemarakkan kepentingan bahasa Melayu. Sebolehnya bahasa ini diperluaskan ke merata tempat dan kerana itu kita manyambutnya lebih awal sebelum bulan Oktober,” ujarnya.

Antara pengisian dalam program ini termasuklah persembahan, teater dan koir yang disampaikan oleh para pelajar S.M. Poi Lam (SUWA).