PETALING JAYA: Majlis Sukan Negara menegaskan tiada takrif “ghairah” dalam arena gimnastik dan gimrama dan tidak patut menjadi asas dalam dasar pembangunan sukan, menjawab exco Terengganu bahawa sukan itu mengeksploitasi serta mempamerkan aksi ghairah wanita.

MSN memaklumkan isu pemakaian sukan, khususnya bagi sukan-sukan yang melibatkan pendedahan aurat, pernah dibincangkan beberapa kali hingga ke peringkat Parlimen.

“Anggapan bahawa kemahiran dan teknik yang ditonjolkan dalam sukan gimnastik dan gimrama sebagai ‘aksi yang boleh mendatangkan ghairah kepada kaum lelaki’ tidak harus diterima.

“Sukan pentas para atlet negara mempamerkan disiplin diri dan semangat kesukanan yang tinggi,” kata Ketua Pengarah Ahmad Shapawi Ismail dalam kenyataan.

MSN berkata kerisauan kerajaan Terengganu terhadap cara pemakaian atlet merisikokan masa depan atlet yang berpotensi mengharumkan nama negara.

Untuk beberapa jenis sukan tertentu yang secara asasinya menampilkan pemakaian sedemikian rupa, MSN berkata terpulang kepada individu terlibat untuk mempraktikkannya atau tidak.

“Sekiranya individu tersebut menganggap pemakaian pakaian tersebut menyalahi syariah, maka individu ini mempunyai pilihan untuk tidak terlibat dalam sukan tersebut.

“Ataupun beliau boleh berkompromi dan memakai pakaian yang mengikuti syariah jika tiada halangan dari segi garis panduan,” katanya.

MSN menghargai usaha kerajaan Terengganu mencari penyelesaian kepada pemakaian sukan yang sesuai dengan masyarakat Islam, namun mempersoalkan keputusannya memilih sukan-sukan tertentu.

“Atlet lelakinya juga terdedah kepada pemakaian yang tidak mengikut syariah seperti renang, terjun, olahraga dan sukan popular bola sepak,” katanya.

Ia menambah amat malang jika cadangan kerajaan Terengganu juga terpakai kepada atlet yang bukan beragama Islam.

“Seperti mana kita tidak mengharamkan pemakaian sebegitu rupa kepada pelancong asing dan bukan Islam yang begitu ramai mengunjungi pulau-pulau cantik di Terengganu dan bebas dilihat oleh masyarakat Islam di pulau-pulau tersebut,” katanya.

Sementara itu, MSN memaklumkan pasukan Terengganu turut menyertai acara gimnastik wanita di Sukma 2018 di Perak, menampilkan 4 gimnas beragama Islam dan 2 gimnas bukan beragama Islam.

“Saya tidak pasti kenapa kenyataan tersebut dikeluarkan ketika ini. Sukan merupakan elemen yang sepatutnya menyatukan rakyat yang berbilang bangsa dan agama,” katanya.

Semalam, kerajaan Terengganu mengumumkan ia menarik diri daripada beberapa jenis yang yang bercanggah sepenuhnya dengan syariat Islam.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata kerajaan negeri sedang merangka satu garis panduan patuh syariah bagi atlet yang melibatkan aspek pemakaian dan pergaulan.