IPOH 22 Mac – Ketua jurulatih skuad hoki kebangsaan, Roelant Oltmans mengakui tidak berdepan tekanan biarpun banyak pihak meletakkan harapan tinggi untuk Malaysia menjuarai Piala Sultan Azlan Shah buat kali pertama pada edisi kali ini.

Roelant berkata, apa yang penting anak buahnya mempamerkan persembahan konsisten sehingga ke Kejohanan Siri Hoki Akhir Dunia 2019 pada bulan depan biarpun berdepan persiapan singkat.

Dengan membawa tujuh pemain baharu yang tidak bersama dalam skuad Piala Dunia 2018, beliau juga berharap pemain muda yang diserapkan dalam kejohanan kali ini dapat mempamerkan aksi terbaik.

“Tiada tekanan, apa yang ramai orang mahukan itu bukan minat saya, sebaliknya saya mahu pasukan kita mempunyai kemajuan bagi mencapai sasaran yang ingin dicapai.

“Kita sentiasa memfokuskan untuk menambah baik perlawanan dan antara caranya ialah dengan melihat kepada kualiti pemain termasuk formasi terbaik untuk pasukan,” katanya dalam sidang akhbar di sini.

Enam negara termasuk Malaysia menyertai kejohanan Piala Sultan Azlan Shah kali ini iaitu India, Kanada, Korea Selatan, Jepun dan Poland.

Malaysia bakal membuka tirai perlawanan sulung bertemu Poland, malam esok. – UTUSAN ONLINE