KUALA LUMPUR: Tiada tindakan akan diambil buat masa ini berhubung kenyataan seorang lelaki yang mencadangkan seorang ahli politik kanan melakukan jenayah yang digambarkan sebagai “perbuatan keji” dan “tidak bermoral”, kata PKR.

“Tindakan apa yang nak diambil?” kata Pengarah Komunikasi, Fahmi Fadzil kepada pemberita di Parlimen hari ini.

“Buat masa ini saya fikir rakyat akan boleh nampak apa sebaliknya.”

Fahmi berkata PKR akan mengutamakan kongres nasional tahunan yang akan bermula malam ini.

Reaksi ini menyusuli komen di media mengenai suatu akuan berkanun yang dikatakan dibuat oleh seorang lelaki, Muhammed Yusoff Rawther.

Semalam, Yusoff, 26, mencadangkan seorang ahli politik kanan melakukan jenayah yang digambarkan sebagai “perbuatan keji, teruk, tersembunyi dan berbahaya, dan tidak bermoral” terhadapnya, pada satu sidang media mengkritik pihak berkuasa kerana tidak bertindak atas laporan polis yang dibuatnya terhadap Ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak sebelum ini.

Beliau bagaimanapun enggan memberikan butiran dakwaannya, mengatakan ia sebahagian daripada akuan berkanunnya yang masih belum dimaklumkan.

Yusoff, cucu kepada pembela pengguna Pulau Pinang yang terkenal, SM Mohamed Idris, sebelum ini mendakwa Farhash, yang juga setiausaha politik Anwar, menyerangnya pada Mei, di pejabat presiden PKR itu di Petaling Jaya.