KUCHING: Bercakap mengenai kemerdekaan atau perpisahan tidak menyalahi undang-undang, kata Presiden Parti Bumi Kenyalang, Voon Lee Shan.

Beliau berkata ramai pakar undang-undang berpandangan Akta Hasutan hanya terpakai pada hasutan atau bahan-bahan hasutan terhadap negara sendiri.

“Sabah dan Sarawak sememangnya sebuah negara sebelum menjadi sebahagian daripada Tanah Melayu.

“Isunya, adakah Malaysia sebuah negara? Dalam Perlembagaan Persekutuan tidak pun dinyatakan Malaysia sebuah negara.

“Perlembagaan Persekutuan hanya menyatakan Malaysia sebuah persekutuan yang terdiri daripada Sabah dan Sarawak dan negeri-negeri Tanah Melayu,” katanya.

Voon berkata tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 atau Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan yang menyentuh soal hak Sabah dan Sarawak berpisah dari Malaysia.

Katanya, dalam undang-undang antarabangsa, koloni atau sebahagian daripada sebuah wilayah mempunyai hak intrinsik untuk keluar daripada negara induk atau wilayah itu jika mereka dikenakan tekanan politik, penindasan dan dominasi oleh negara induk atau wilayah itu.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memberitahu Parlimen semalam bahawa tindakan akan diambil bawah Akta Hasutan terhadap mereka yang menyeru Sarawak berpisah daripada Malaysia jika mereka membahayakan ketenteraman awam dan keselamatan.

Beliau dilapor berkata, selaras dengan dasar kerajaan untuk mengalakkan kebebasan bersuara mengikut Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan, peruntukan Akta Hasutan hanya akan digunakan dalam kes dimana suatu perbuatan menghasut mewujudkan keadaan yang tidak terkawal sehingga menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.

Pengasas Gerakan Perubahan Sarawak, Francis Paul Siah berkata jawatan Mahthir kepada Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau di Parlimen mengenai seruan perpisahan di negeri itu boleh dianggap sebagai “ancaman” atau “nasihat”.

“Saya fikir lebih baik semua orang melihat respon perdana menteri itu sebagai satu nasihat,” katanya kepada FMT.

Katanya, walaupun seruan-seruan perpisahan semakin kuat dalam kalangan rakyat Sarawak, penyokong kemerdekaan sentiasa menjalankan aktivitinya secara aman dan teratur.

“Perarakan anjuran rakyat Sarawak pro-Kemerdekaan membuktikan perkara itu, dan ini polis Sarawak boleh mengesahkannya. Tiada langsung laporan tentang sebarang pertempuran. Ini cara Sarawak,” katanya.

Siah berkata Putrajaya harus memansuhkan Akta Hasutan, yang digambarkannya sebagai “ketinggalan zaman” kerana peruntukan-peruntukan Kanun Keseksaan sudah memadai.

Beliau juga mengkritik Lau kerana mengajukan soalan itu kepada perdana menteri di Parlimen.

“Saya terkejut dia merasakan perlu bertanyakan apakah tindakan yang boleh diambil terhadap rakyat senegeri kerana pendirian pro-kemerdekaan mereka.

“Soalan itu, yang boleh dianggap ‘anti-Sarawak’, menghampiri kebodohan dan naif.”

Beliau berkata jika Lau tidak bersetuju dengan kumpulan pro-kemerdekaan di negerinya, dia patut membiarkan rakan-rakan DAP dari Semenanjung mengajukan soalan seperti itu.

-FMT