TAPAH 2 Mei – Tiada unsur jenayah dikesan pada mayat disyaki seorang lelaki yang ditemukan dalam keadaan reput dengan dibalut karpet di kawasan hutan berdekatan kebun kelapa sawit di Kampung Sungai Lah dekat Chenderiang di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, hasil bedah siasat mayat itu yang dilakukan hari ini mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah yang dikesan pada mayat tersebut.

Bagimanapun katanya, punca kematian belum dapat ditentukan ekoran keadaan mayat yang telah reput.

“Polis masih menyiasat sama ada mangsa merupakan warga tempatan atau sebaliknya.

“Setakat ini, terdapat seorang lelaki warga Myanmar yang mendakwa mangsa adalah rakannya namun tiada sebarang dokumen dikemukakan lelaki tersebut,” katanya.

Menurut Wan Azharuddin, orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian pada pukul 5 petang kelmarin, mayat yang masih berpakaian dan dibalut dengan karpet berwarna merah itu dijumpai setelah orang awam memaklumkan mengenai bau busuk kepada pihak polis.

Pemeriksaan di lokasi kejadian kemudiannya mendapati terdapat satu mayat disyaki lelaki dengan keadaan fizikal pada bahagian kepala hanya tinggal tengkorak manakala bahagian bawah badan pula masih berisi namun telah berulat. – UTUSAN ONLINE