KLANG: Kementerian Sumber Manusia menafikan dakwaan wujud unsur penindasan ke atas pekerja asing yang dipaksa bekerja lebih masa di syarikat pembuat sarung tangan getah terkemuka dunia, Top Glove Corp Berhad (Top Glove).

Menterinya, M Kulasegaran, berkata hasil pemerhatian pihaknya mendapati lebih 10,000 pekerja syarikat tempatan itu bekerja lebih masa secara sukarela kerana mahu memperoleh pendapatan tinggi.

“Saya memang ada dihubungi wartawan dari United Kingdom (UK) dan Australia Jumaat lalu, namun saya tidak dapat mengeluarkan kenyataan kerana perlu melakukan siasatan terlebih dulu bagi mendapatkan maklumat sebenar mengenainya.

“Pemerhatian kita (kementerian) di hampir semua kilang Top Glove di Klang dan Ipoh, Perak mendapati mereka (pekerja asing) sukarela mahu bekerja lebih masa tanpa sebarang paksaan untuk mendapat bayaran lebih tinggi.

“Tidak dinafikan ada pekerja asing yang bekerja melebihi masa ditetapkan mengikut Akta Pekerja 1955, namun kita akan mengambil tindakan lanjut dan pengurusan Top Glove turut bekerjasama penuh mengatasi perkara itu,” katanya yang menafikan sekeras-kerasnya dakwaan laporan media asing berkenaan.

Beliau berkata demikian selepas meninjau kilang syarikat itu di Kawasan Perindustrian Meru Timur di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Datuk Mohd Jeffrey Joakim dan Pengerusi Eksekutif Top Glove, Tan Sri Dr Lim Wee Chai.

NSTP melaporkan saham Top Glove menjunam pada dagangan awal hari ini susulan berita tuduhan bahawa syarikat itu menindas pekerja.

Saham pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia itu susut 5.93 peratus, atau 33 sen kepada RM5.57 dengan 1.2 juta saham bertukar tangan.

Ia susulan laporan sebuah media antarabangsa mendakwa syarikat itu menindas ribuan pekerja asing termasuk memaksa mereka bekerja lebih masa mencecah 160 jam sebulan, melebihi tempoh bekerja lebih masa 104 jam ditetapkan undang-undang Malaysia.

Laporan itu menyebut situasi dihadapi pekerja termasuk menjadi mangsa buruh paksa, bebanan hutang, gaji ditahan dan pasport dirampas.

Kulasegaran berkata, pihaknya setakat ini belum menerima maklum balas rasmi daripada pihak berkuasa Britain mengenai isu berkenaan.

“Kita secara terbuka amat mengalukan sebarang siasatan dijalankan, namun ia membabitkan antara kerajaan dan kerajaan (government to government),” katanya.

Sementara itu, Wee Chai berkata pihaknya turut menafikan dakwaan syarikat berkenaan memperoleh keuntungan satu bilion Pound Sterling (RM5.29 bilion) tahun lalu sedangkan angka sebenar hanya 80 juta Pound atau kira-kira RM450 juta.

“Kami sememangnya kesal dengan laporan media asing itu yang dianggap tidak bertanggungjawab terutama berkaitan isu penindasan pekerja.

“Jika mahu kepastian lebih terperinci, kami amat mengalukan mereka datang sendiri ke negara ini untuk meninjau dan menjalankan siasatan,” katanya – berita harian