IPOH – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu membantu Mohd Firdaus Abdullah, 12, mendapatkan tempat perlindungan selepas ditinggalkan sendirian, sejak dua minggu lalu.

Pengarahnya, Ruhaini Zawawi berkata, sejak kisah kanak-kanak ini dilaporkan, banyak pihak tampil menyatakan kesudian menjadi keluarga angkat dan menawarkan pusat jagaan mereka sebagai tempat tinggal.

“Semua cadangan kita ambil kira, namun ia perlulah melalui siasatan dan semakan JKM terlebih dahulu.

“Kita perlu lihat adakah persekitaran pusat jagaan itu sesuai dengan kanak-kanak ini atau kelayakan untuk menjadi ibu bapa pelihara dan keluarga angkat memenuhi syarat ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, hasil perbincangan dibuat bersama waris terdekat iaitu bapa saudara dan datuk saudara, mereka telah bersetuju menyerahkan penjagaan sementara kepada Amiruddin Mohd Daud atau dikenali Tok Anjang.

“Apabila kes ini dirujuk ke JKM, kita dapati tiada saudara mara yang sanggup menjaganya, selain tinggal jauh mereka juga kurang berkemampuan.

“Kita kalau boleh mahu dia dijaga ahli keluarga terdekat, setelah tiada yang menyatakan kesanggupan, baharulah JKM ambil tindakan lanjut menempatkannya secara tetap di mana-mana pusat jagaan.

“Pusat jagaan itupun, biarlah yang sesuai dengan dirinya seperti pusat tahfiz dan kena yang hampir dengan saudara maranya agar mudah dilawati,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, dalam tempoh terdekat ini, pihaknya juga akan mendapatkan kebenaran untuk menemui ibu kanak-kanak itu yang dilaporkan sedang dalam tahanan di penjara.

Katanya, langkah itu bagi melengkapkan laporan sosial dan siasatan JKM dibawah Seksyen 35 Akta Kanak-kanak 2001.

“Kanak-kanak ini tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri, sijil kelahirannya juga telah hilang, jadi perlu ambil masa untuk melengkapkannya.

Mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai Mohd Firdaus boleh menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kinta ditalian 05 2410986 – sinar harian