NAIB Presiden PKR, Tian Chua memfailkan saman pemula terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memohon deklarasi bahawa beliau layak dan berhak bertanding sebagai calon kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini.

Saman itu difailkan melalui Tetuan Ngeow & Tan di kaunter pendaftaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9.45 pagi.

Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, 55, bagaimanapun tidak hadir dan diwakili peguamnya Ngeow Chow Yin.

Beliau menamakan SPR dan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Anwar Mohd Zain sebagai responden pertama dan kedua.

Berdasarkan writ saman, bekas ahli Parlimen Batu itu memohon deklarasi bahawa beliau layak sebagai calon kerusi Parlimen di PRU-14 mengikut Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan dan di sisi undang-undang.

Tian Chua juga memohon deklarasi bahawa beliau berhak untuk bertanding dan diterima sebagai calon oleh responden.

Beliau mendakwa, berdasarkan undang-undang yang termaktub, hukuman denda RM2,000 tidak akan menjejaskan hak atau menghilangkan kelayakannya sebagai Ahli Parlimen.

Menurutnya, pada PRU-13, dokumen penamaan calonnya diterima dan dibenarkan bertanding walaupun ketika itu beliau ada hukuman denda RM2,000.

Tian Chua gagal untuk mempertahankan kerusi Parlimen Batu P115 apabila SPR mendapati beliau hilang kelayakan bertanding kerana dihukum denda RM2,000 atas kesalahan menghina polis – hmetro

 

BERITA BERKENAAN :  Kesibukkan Berkempen Tidak Halang Luang Masa Bersama Masyrakat Sikh