Naib Presiden PKR Tian Chua “tidak faham” sekiranya keputusan Nurul Izzah Anwar meletak jawatan dalam parti serta kerajaan dikaitkan dengan aktiviti lompat parti dalam kalangan wakil rakyat pembangkang.

Ia berdasarkan kenyataan Presiden PKR Anwar Ibrahim yang mendakwa anaknya itu yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh mual dan muak dengan telatah politik termasuk anggota Parlimen lompat parti bagi menyelamatkan nyawa politik.

“Saya tidak memahami isu lompat parti (dijadikan alasan), mana ada lompat parti, cuba kira pada saya berapa ramai yang lompat parti.

“Saya tidak nampak fenomena lompat parti, jadi untuk buat andaian ia masih terlalu awal.

“Bagaimanapun kita menghormati keputusan beliau (Nurul Izzah),” kata Chua kepada Malaysiakini.

Pada 17 Disember lalu, Nurul Izzah, anggota parlimen Permatang Pauh, membuat kejutan apabila mengumumkan peletakan jawatannya sebagai naib presiden PKR.

Nurul Izzah juga melepaskan jawatan sebagai pengerusi PKR Pulau Pinang.

Bagaimanapun anak presiden PKR itu tetap mengekalkan keanggotaan parti serta menjadi penyokong kerajaan di parlimen.

Anwar yang mengulas keputusan anaknya itu pada 21 Disember berkata Nurul Izzah juga kecewa dengan tindakan anggota parlimen yang keluar parti.

“… yang jelas adalah kerancakan perkembangan politik yang terus menerus sejak 9 bulan yang lalu membuatkan beliau mual dan muak dengan perangai dan telatah golongan yang lebih sibuk dengan politik kepartian daripada bekerja untuk rakyat.

“Sebagai contoh, beliau menyatakan kekecewaan dengan aksi ahli-ahli parlimen yang melompat menyelamatkan nyawa politik, tetapi apa yang lebih parah adalah mereka dimanfaatkan untuk rencana yang jelik,” kata Anwar dalam suatu kenyataan.

Sementara itu, Chua berkata masih terlalu awal untuk mentafsirkan apa yang dimaksudkan mengenai keputusan Nurul Izzah untuk melepas jawatan dan kaitannya dengan lompat parti – Malaysia kini