IPOH: Jabatan Kerja Raya (JKR) berjaya menstabilkan pergerakan pier 11 (tiang) Jabatan Sultan Yusof, Batu 5, Teluk Intan yang ditutup sepenuhnya September lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, penutupan jambatan itu dibuat setelah pertimbangan yang amat mendalam oleh pihak JKR selepas mendapati berlaku anjakan di pier 11 yang boleh menjejaskan intergriti kestabilan rentang struktur jambatan tersebut.

Menurut beliau, dari penyiasatan yang dilaksanakan di tapak, pihak JKR mendapati pergerakan yang berlaku adalah disebabkan oleh hakisan arus sungai di tiang itu dan juga impak dari kenderaan berat yang melalui jambatan.

“Antara langkah yang telah dan akan dilaksanakan di tapak ialah kerja-kerja menstabilkan pier berkenaan dan seterusnya akan menggantikan pier berkenaan dengan struktur baru yang mengambil kira bebanan dan situasi semasa di tapak,” katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Mohd Azhar Jamaluddin (BN-Changkat Jong) di Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Menurut Zainol, selain kerja-kerja menghentikan pergerakan tiang 11 dengan menambatnya bersama tiang-tiang bersebelahan, kerja-kerja pengukuhan tebing bagi mengelakkan hakisan juga telah dilaksanakan.

“Setelah mendapati pergerakan pier 11 stabil, maka pihak kontraktor kini sedang menjalankan kerja-kerja untuk mengukuhkan pier tersebut secara keseluruhannya,” ujarnya.

Beliau memberitahu, pihak JKR sedang mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan kerja-kerja pembaikan pier 11 dilaksanakan dengan kadar segera dan siap awal tahun hadapan.

“Kami akan berharap permasalahan ini dapat diselesaikan mengikut perancangan dan amat memahami kesulitan dan ketidakselesaan orang ramai, khususnya pengguna jalan raya yang menggunakan jambatan ini,” kata Zainol.