IPOH: Mengambil keberkatan sempena bulan puasa, Taj International College (TIC) menganjurkan projek amal Aura Ramadan 2017 di kampus kolej itu di sini pada 8 – 19 Jun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TIC, Tina Tajuddin berkata, projek amal itu adalah kolaborasi bersama beberapa agensi kerajaan seperti Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dan Majlis Agama Islam Perak (MAIPk) serta beberapa buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Antara NGO yang terlibat ialah Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu (DPPM) Perak, Silver Spa Enterpreneur Association (SISPA), Aman Palestin, Wanita ISMA, Persatuan Karyawan Malaysia dan Majlis Belia Daerah Ipoh.

“Pelbagai aktiviti telah dirancang sepanjang 12 hari projek amal itu, yang melibatkan semua peringkat umur dan kumpulan, bermula dari kanak-kanak hinggalah belia, wanita, usahawan dan golongan kurang bernasib baik,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini pada Jumaat.

Hadir sama Pengerusi Dewan Muda DPPM Perak, Wan Mohd Faizal Wan Aris, Presiden SISPA, Naziah Phir Khan dan Pembantu Tadbir Eksekutif Aman Palestin, Hasniza Senin.

Menurut Tina, antara aktiviti yang akan diadakan ialah Hari Bersama Belia, TN50 Ramadan, jualan amal, iftar mega, khidmat spa amal, kutipan untuk tabung Aman Palestin, Forum Perdana di samping tapak jualan untuk antara 50 hingga 100 usahawan.

“Disebabkan program ini dijalankan atas rasa tanggungjawab sosial terhadap pihak yang memerlukan, kita juga mensasarkan untuk menjemput kira-kira 300 anak yatim, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan golongan asnaf untuk projek amal,” ujarnya.

Perasmian dijangka disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan, Datuk Shahrul Zaman Yahya manakala penutup oleh Timbalan Menteri MOA, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Sementara itu, Wan Mohd Faizal berkata, program berkenaan adalah antara usaha DPPM Perak untuk membudayakan keusahawanan di kalangan pelajar, selaras dengan fokus Pelan Tindakan Strategik yang telah dilancarkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ketika Pangkor Dialogue lalu.

“Kita juga berharap dapat mendaftarkan pelajar-pelajar TIC sebagai ahli bersekutu DPPM Perak untuk membimbing mereka menjadi usahawan,” tambahnya.

Naziah pula berkata, pihaknya akan menyediakan perkhidmatan spa amal secara percuma untuk ibu tunggal dan kanak-kanak istimewa.

IMG-20170602-WA0001

“Kita mahu menunjukkan kepada orang ramai bahawa spa bukan hanya untuk golongan mewah sahaja dan yang penting kita menyediakan spa patuh syariah,” katanya.