IPOH: Menteri Besar, YAB Ahmad Faizal Azumum berpendapat, adalah tidak adil bagi mana-mana pihak cuba membandingkan pembetukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Perak pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan peristiwa hitam melompat parti hingga membawa kepada tumbangnya kerajaan Pakatan Rakyat Perak pada tahun 2009.

Menurut beliau, di atas ketentuan Allah, pada 12 Mei 2018, Sultan Perak telah berkenan melantik Menteri Besar Perak yang ke-12 atas persetujuan pimpinan PH Perak dan dengan sokongan dua wakil rakyat dari Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, perkenan itu adalah selaras dengan Fasal (1) dan Fasal (2) Perkara 12 dan perenggan (a) Fasal 2, Perkara 16 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, yang mensyaratkan Menteri Besar boleh dilantik di kalangan wakil rakyat yang mendapat sokongan majoriti dari kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri Perak.

“Atas kesedaran itu, saya menyeru kepada pihak di sebelah sana yang mengaku beriman kepada Allah SWT supaya menerima qada dan qadar yang rakyat telah membuat keputusan berani untuk memberi kepercayaan kepada Pakatan Harapan untuk melihat perubahan di pentadbiran kerajaan Pusat dan kerajaan Negeri,” katanya ketika menggulung perbahasan di Dewan Undangan Negeri Perak di sini, hari ini.

YAB Ahmad Faizal berkata, sebagai kerajaan yang menjunjung prinsip keadilan dan kesaksamaan, pentadbirannya mengambil sikap terbuka kepada apa sahaja teguran dan cadangan dari semua pihak, termasuk pihak yang di sebelah sana.

Bagaimanapun, kata beliau, biarlah teguran dan cadangan itu disalurkan menurut pendekatan yang berkhemah dan rasional.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua wakil rakyat yang telah menunjukkan kualiti perbahasan yang baik dengan menyentuh isu-isu berkaitan urus tadbir kerajaan negeri dan perkara-perkara berkaitan rakyat di kawasan masing-masing.

“Begitupun, saya mengharapkan beberapa Yang Berhormat untuk membaiki kualiti perbahasan pada sidang yang akan datang dengan mengelakkan menyentuh isu-isu yang tidak relevan, sebagai contoh isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) untuk dibahaskan dalam dewan yang mulia ini kerana ianya adalah bidangkuasa kerajaan Persekutuan.

“Usahlah terbawa-bawa dengan kekecewaan sehingga kita tidak dapat menilai antara yang benar dengan yang salah. Alangkah indahnya jika kita semua bersama bersatu dalam membuat amal kebaikan demi kebaikan semua rakyat di luar sana dan negeri yang tercinta ini,” ujar beliau.

Beliau memberi jaminan, kerajaan PH Perak akan mengamalkan politik matang dengan memberi pengiktirafan kepada pembangkang seperti menyediakan sebuah pejabat, kereta rasmi, dua pegawai khas, seorang pemandu dan elaun tambahan setiap bulan kepada Ketua Pembangkang.