Oleh: Shafiq Noordin

BAGAN DATUK: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, adalah tidak adil bagi mana-mana pihak untuk melabelkan etnik Rohingya sebagai pengganas.

Sebaliknya, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, mereka sebenarnya merupakan mangsa keganasan dan hanya bertindak mempertahankan diri daripada kezaliman di luar batas kemanusiaan.

“Tidak adil (Rohingya) dianggap atau digambarkan sebagai pengganas, mereka mahu pertahankan diri, mereka mahu membela hak mereka sendiri, hak sebagai orang yang dilahirkan di negara tersebut.

“Myanmar perlu membezakan gerakan yang disebut pengganas dengan penduduk biasa atau kanak-kanak.

“Mustahil kanak-kanak atau wanita yang tidak berdosa dianggap sebagai pengganas dan dibakar, dicampak ke dalam sungai; dikerat dan dicampakkan mayat mereka,” katanya.
Beliau berucap demikian ketika merasmikan sambutan 80 tahun Sekolah Mengenah Agama Al-Ulum Al Syar’iyyah di Selekoh di sini pada Sabtu.

Tambah Ahmad Zahid, penentangan Malaysia terhadap kekejaman yang dilakukan ke atas etnik Rohingya bukan kerana tuntutan agama semata-mata namun lebih bersifat kemanusiaan.

Justeru, beliau berkata, Malaysia akan meminta kuasa-kuasa besar dunia untuk memainkan peranan menghentikan dan menangani keganasan yang berlaku di Rakhine, Myanmar.

Katanya, permintaan itu akan disuarakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pertemuan bersama Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump di Washington, Selasa ini.

“Saya telah berbisik dengan beliau (Najib), bukan kita mahu meminta negara besar ataupun Donald Trump membantu, tetapi kita mahu memberikan kesedaran kepada mereka bahawa kuasa besar perlu melakukan sesuatu untuk memastikan tindakan tidak berperikemanusiaan ini dihentikan serta-merta,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut melahirkan kekesalan terdapat segelintir masyarakat negara ini yang menolak kehadiran pelarian Rohingya di Malaysia.

Katanya, usaha kerajaan membantu etnik itu harus didokong oleh rakyat Malaysia keseluruhannya tanpa mengira perbezaan politik serta agama.

*Sumber gambar : Twitter @zahid_hamidi