GERIK: Tsunami Melayu yang dikatakan pembangkang kononnya akan berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) diyakini tidak akan menjadi kenyataan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berpendapat, keyakinan beliau berdasarkan kepada UMNO dan PAS masih menjadi parti dominan orang Melayu di negara ini.

Menurutnya, pembangkang tersalah baca terhadap kekuatan kedua-dua parti itu, terutamanya PAS, lebih-lebih lagi selepas beberapa pemimpinnya, yang diketuai Mohamad Sabu, meninggalkan PAS.

“Mereka perlu ingat, pada PRU13 lalu, PAS bersama-sama pakatan pembangkang tetapi kini tidak lagi,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gerik di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Gerik di sini pada Ahad.

Hadir sama bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali dan Ketua UMNO Bahagian Gerik, Datuk Hasbullah Osman.

Dr Zambry turut mengingatkan ahli UMNO supaya fokus terhadap usaha menghadapi PRU14 pada bila-bila masa dengan mengelakkan perpecahan, istiqamah menghadapi apa juga masalah, jangan angkuh dan sombong kerana UMNO juga mempunyai kekurangan dan kelemahan yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa.

Dalam masa sama, katanya, mereka juga tidak perlu memikirkan soal di mana beliau akan bertanding, walaupun ada ura-ura kononnya beliau akan bertanding di Gerik.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Dr Zambry memberitahu, beliau telah diamanahkan untuk mengetuai BN Perak dalam menghadapi PRU14 akan datang.

Di majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan RM50,000 kepada Madrasah Al-Latifiah (Pondok Pak Teh), Pengkalan Hulu, yang terbakar baru-baru ini.

Beliau turut mengumumkan kerajaan pada dasarnya bersetuju meluluskan peruntukan RM1.8 juta untuk menaiktaraf jalan di Batu 4, Jalan Gerik – Pengkalan Hulu yang sering dilanda banjir kilat.