IPOH: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bertindak keluar meninggalkan Sesi Pendengaran Awam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) kerana membantah sesi pendengaran itu diadakan secara terbuka, hari ini.

Dr Zambry bertindak keluar sebelum soalan dikemukakan pada sesi pendengaran yang diadakan di bilik mesyuarat korporat Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Beliau bertindak demikian selepas Pengerusi PAC Perak, Leong Cheok Keng menyatakan PAC kekal dengan pendirian mahu sesi pendengaran itu diadakan secara terbuka.

Dr Zambry berkata, sesi pendengaran awam itu tidak dijalankan mengikut tatacara dan amalan biasa PAC Perak kerana di Parlimen sendiri tidak dibuat sesi pendengaran awam tersebut.

Sementara itu, Dr Zambry ketika ditemui dalam sidang media khas di Bangunan UMNO Perak berkata, tindakannya itu bukan bermaksud menghina jawatankuasa tersebut.

“PAC ini adalah `extension’ kepada Dewan Udangan Negeri (DUN), apa sahaja keputusan mesti dibuat dalam DUN, tetapi saya dengar Pengerusi PAC boleh katakan bahawa mereka mempunyai kuasa, hari ini mereka tidak buat keputusan untuk mendenda dan sebagainya.

“Tidak…. anda tiada hak untuk buat begitu, kesimpulannya ia merupakan babak hitam dalam DUN, saya enggan membenarkan ia menjadi satu perkakas politik bagi mana-mana kumpulan.

“Apabila ia dijadikan satu perkakas politik untuk memenuhi serakah politik, maka akhirnya kita akan menghancurkan sistem yang telah kita bina selama ini dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Menurut Dr Zambry lagi, beliau bersedia memberi kerjasama dan menjawab soalan-soalan yang dikemukakan jika jawatankuasa membuat sesi pendengaran itu mengikut tatacara dan amalan biasa.

Sesi Pendengaran Awam PAC pagi tadi dihadiri lima ahli PAC manakala dua lagi ahli daripada BN iaitu Adun Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul dan Adun Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim tidak hadir.

Turut hadir bersama Dr Zambry ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MB Inc.) Datuk Aminuddin Hashim.

Dalam pada itu, Dr Zambry tidak menafikan kenyataan Pengerusi BN Perak, Datuk Saarani Mohamad yang mendedahkan beberapa ADUN BN dipujuk individu di dalam PH bagi menyokong usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Saya akan jawab nantilah benda tu, bukan sayalah…but its real,” katanya.