Seorang wanita warga emas dari Sitiawan, Perak, telah memutuskan untuk tidak pergi mengambil baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) selepas dia diberitahu untuk pergi mengambilnya di Ipoh, kira-kira 70km dari tempat tinggalnya.

Chan Gan, 73, menerima notis dari MCA bahagian Ipoh Timur yang memaklumkan kepadanya bahawa dia perlu pergi mengambil baucar BR1M beliau di Dewan Tow Boh Keong di Ipoh pada pukul 9 pagi 17 Mac. Malaysiakini telah melihat notis itu.

Jika Chan hendak pergi ke Ipoh, ia akan membabitkan perjalanan menaiki bas yang lama.

Chan memberitahu Malaysiakini bahawa beliau telah membuat keputusan untuk tidak pergi mengambil pembayaran BR1M tahun ini kerana dia sakit kaki dan tidak berupaya untuk berbuat demikian.

“Nak berdiri pun susah. Kamu mahu saya beratur (untuk mendapatkan baucar BR1M)?” katanya.

Pada tahun-tahun sebelum ini, wang BR1M dimasukkan terus ke dalam akaun bank Chan, di tempat dia tinggal.

“Mengapa susah sangat kali ini?” tanya beliau.

Ketika dihubungi, seorang petugas di MCA bahagian Ipoh Timur berkata beliau hairan dengan urusan pembayaran BR1M tahun ini.

Beliau mendakwa bahawa senarai penerima itu telah diedarkan oleh Umno.

Katanya, BR1M akan diagihkan dalam bentuk baucar yang dikeluarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Bahagian iitu akan cuba untuk menyelesaikan perkara tersebut.

Seorang lagi petugas MCA bahagian Ipoh Timur berkata bahawa mereka telah menerima aduan dari penerima BR1M yang tidak menetap di Ipoh.

Beliau berkata bahagian itu akan cuba untuk menyelesaikan perkara itu kemudian.

“Kami akan menggunakan cara terbaik untuk memenuhi permintaan seramai yang kami boleh,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ipoh Timur, Thomas Su mengkritik MCA kerana menjadi sebahagian daripada skim itu dan menuduh parti BN menggunakan kesempatan itu menjelang pilihan raya umum yang akan datang.

Beliau mendakwa ia satu langkah politik untuk meraih undi dan cuba untuk membuat rakyat merasakan bahawa mereka perlu menghargai MCA kerana parti itu mendapatkan wang itu untuk mereka.

Tetapi, Su dari DAP, ketika dihubungi berkata, ia bukan begitu kerana “semua itu adalah wang rakyat”.

Su berkata hanya Perlis dan Perak mengedarkan baucar BR1M secara manual, tetapi tidak di negeri-negeri lain.

Beliau menggesa supaya kaedah pembayaran BR1M itu balik kepada kaedah lama dengan memindahkan wang BR1M terus ke dalam akaun bank penerima.

-MalaysiaKini