IPOH: Wakil rakyat yang dipecat daripada PKR tidak bimbang dengan tindakan parti itu yang menuntut saman RM10 juta sebagai pampasan atas tindakan melompat dan keluar parti, Mac lalu.

Ini kerana tindakan itu dikatakan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Bekas Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Selangor berkata, beliau juga bukannya melompat parti, sebaliknya telah dipecat.

“Setakat ini tak bimbang kerana saya nampak tindakan tersebut macam ultra virus, bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak kebebasan kepada mana-mana individu warganegara untuk menganggotai mana-mana pertubuhan berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan.

“Saya rasa agak yakin bahawa dakwaan tak boleh dikenakan, apa-apapun pun kita akan tunggu surat daripada parti dan lihat apa tindakan seterusnya,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis korban dan kempen keselamatan kebakaran anjura bersama Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bomba dan Penyelamat (PERISMA) dan Nation For Women (NOW) di Ipoh pada Sabtu.

Menurutnya, pihaknya juga telah bersedia dengan peguam-peguam untuk mengambil kes tersebut atau melakukan tindakan selanjutnya.

Pada Khamis, Bendahari Agung PKR, Lee Chean Chung dilaporkan berkata, parti itu akan mengeluarkan surat tuntutan kepada 19 Ahli Parlimen dan ADUN PKR yang telah keluar parti, menuntut setiap mereka membayar RM10 juta kepada parti.

Selain Haniza, ADUN yang lain ialah Dr Chong Fat Full (Pemanis), Datuk Muhammad Jailani Khamis (Rembia), Datuk Abdul Yunus Jamahri (Kuala Krau), Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia), Azman Nasrudin (Lunas), Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam), Daroyah Alwi (Sementa) dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Aceh).

Ahli Parlimen pula ialah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Gombak) Zuraida Kamarudin (Ampang)
Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Datuk Kamarudin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok), Jonathan Yasin (Ranau) dan Baru Bian (Selangau).