IPOH: Sikap pengendali makanan yang tidak menghiraukan aspek kebersihan menjadi faktor kepada kes keracunan makanan di negeri ini, tanpa mengira sama ada mereka terdiri daripada buruh asing atau warga tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan, Integrasi Nasional, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, terdapat beberapa faktor yang mengundang kepada keracunan makanan dan ia tidak boleh dianggap berpunca daripada buruh asing.

“Semuanya berbalik kepada sikap, tidak kiralah jika pengendali makanan di kedai makan itu buruh asing atau tempatan. Seharusnya mereka mementingkan kebersihan ketika menyediakan makanan kepada pelanggan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ong Boon Piow (DAP-Tebing Tinggi) yang mempersoalkan tindakan pengusaha kedai makan yang menggaji buruh asing sehingga menyebabkan kesan buruk kepada kualiti perkhidmatan makanan.

Dr Mah menjelaskan, antara sebab berlakunya keracunan makanan seperti sikap pengendali makanan, peralatan, teknik pengendalian makanan yang tidak betul serta kaedah pelupusan sampah yang tidak sempurna.

“Antara tindakan yang diambil oleh Jabatan Kesihatan menerusi penguatkuasaan yang dijalankan ialah memeriksa semua kantin dan dapur asrama dan sekiranya keputusan analisis sampel tidak memuaskan maka tindakan perundangan akan dikenakan ke atas pengusaha.

“Penutupan premis juga akan dibuat jika berlaku kejadian keracunan makanan di premis atau kantin yang terlibat, selain melaksanakan promosi kebersihan dan keselamatan secara berterusan,” katanya.

Dalam pada itu, Mah memperjelaskan isu apron berwarna warni yang dipakai oleh pekerja di kedai makan yang turut dibangkitkan oleh ADUN Tebing Tinggi tersebut.

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan hanya mengedarkan apron berwarna putih ketika mengadakan program kesedaran di sekitar negeri Perak dan bukan warna lain sebagaimana didakwa oleh ADUN itu.