IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir tidak kisah dikutuk atau disindir oleh parti pembangkang negeri ini kerana pendiriannya yang konsisten mementingkan aspek kebersihan.

Beliau berkata, walaupun pihak pembangkang sentiasa memperlekehkan usahanya itu, namun beliau akan terus meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan menjaga kebersihan kerana ianya lambang ketamadunan sesebuah masyarakat.

“Mereka kata saya macam-macam, bersandiwara dan sebagainya tetapi hakikatnya saya sentiasa konsisten dalam menekankan aspek kebersihan…adakah ianya salah?

“Sedangkan dalam agama Islam, kebersihan adalah sebahagian manifestasi kepada iman, begitu juga dengan agama-agama lain yang amat pentingkan kebersihan.

“Di negara-negara maju, kebersihan itu adalah perkara penting sehinggakan ia menjadi pendidikan utama kepada anak-anak di sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara langsung selama satu jam di Perak FM dalam program Selamat Pagi Perak Bersama Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir di Auditorium Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia Perak di sini, pada Isnin.

Malah, tambah Dr Zambry, beliau tetap akan meneruskan usahanya itu dengan mengadakan pelbagai lagi insiatif termasuk lawatan mengejut ke tandas-tandas awam dalam negeri ini.

“Jika sebelum ini, saya sudah mengutip sampah, saya juga tidak kisah untuk masuk tandas kerana sebelum ini, saya juga sudah buat beberapa lawatan mengejut, cuma tidak dihebahkan.

“Ini proses berterusan, saya tidak pedulikan pembangkang kerana mereka tetap akan membangkang apa sahaja,” ujarnya.

Dr Zambry baru-baru ini telah membuat pemeriksaan mengejut di beberapa kawasan sekitar Ipoh bersama pekerja pembersihan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Beliau telah tampil berpakaian baju T warna jingga seperti pekerja MBI dan menaiki sebuah lori sampah mengelilingi Ipoh mengutip sampah sarap.

Namun dua pemimpin DAP Perak, Nga Kor Ming dan Datuk Ngeh Koo Ham telah mengutuk serta menyindir tindakannya itu di laman sosial masing-masing.