IPOH 28 Dis. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak tidak akan berkompromi dengan mana-mana stesen minyak di negeri ini yang cuba menghentikan jualan bahan api kepada orang ramai menjelang 1 Januari depan.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP negeri, Shamsul Nizam Khalil berkata, tindakan stesen minyak termasuk gagal memastikan bekalan bahan api mencukupi selain menutup premis tersebut membolehkan mereka disabitkan di bawah Peraturan 21, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Katanya, notis arahan telah pun diedarkan kepada 371 buah stesen minyak di negeri ini sejak semalam bagi memastikan bekalan bahan api mencukupi untuk jualan harian pengguna di negeri ini.

“Walaupun kita tidak boleh jamin 371 buah stesen minyak ini akan patuh kepada notis arahan tersebut tetapi tiada kompromi untuk mana-mana pengusaha yang tidak mematuhinya arahan tersebut.

“KPDNHEP Perak akan mengambil tindakan tegas termasuk menyita stesen minyak yang didapati melanggar syarat-syarat lesen dan mendakwa mereka yang terlibat di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas melakukan pemeriksaan bekalan bahan api petrol dan diesel di sebuah stesen minyak di Jalan Raja Musa Mahadi di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE