Oleh:Nazialita Geynna Maharan

GERIK: Kerajaan negeri Perak bakal berhadapan tindakan saman bernilai tinggi sekiranya terus memberhentikan projek pembalakan yang telah diluluskan oleh pentadbiran terdahulu.

Menteri Besar, YAB Ahmad Faizal Azumu mengakui bahawa kerajaan negeri menerima tekanan daripada beberapa pihak mengenai kelulusan projek pembalakan di negeri ini.

Katanya, barisan kepimpinan kerajaan negeri menyedari keperluan untuk memastikan kelestarian alam sekitar, namun mengakui pembalakan merupakan salah satu punca hasil utama ekonomi negeri.

Tegasnya, buat masa ini beliau masih mempunyai kekuatan untuk menahan diri daripada meluluskan sebarang projek melibatkan penebangan pokok dalam aktiviti pembalakan.

“Saya masih mempunyai kekuatan untuk menahan diri, untuk tidak membiarkan pokok-pokok di Perak ditebang walaupun seinci.

“Justeru, saya dan rakan-rakan exco perlu mencari sebuah kawasan kerana sekiranya perlu, kita buat pembalakan secara berhemah.

“Tetapi, pada masa yang sama, kami mendapat tahu banyak kelulusan (pembalakan) telah diberikan daripada pentadbiran terdahulu. Kerajaan hari ini, terpaksa luluskan (untuk teruskan) atau kerajaan negeri akan berdepan dengan saman dalam nilai yang amat tinggi,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Penanaman Pokok Gaharu dan Penyerahan Pakaian Seragam Sekolah kepada Pelajar Orang Asli Belum Temengor di Belum Rainforest Pavillion, di sini,hari ini.

Turut hadir, Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, YB Tan Kar Hing serta isteri Menteri Besar Perak, Dr Nomee Ashikin Mohamad Radzi.

YAB Ahmad Faizal berkata, pihak kerajaan negeri akan segera mencari jalan untuk keperluan pembalakan dengan menggunapakai kemajuan alternatif moden yang ada pada hari ini.

“Kita boleh buat penanaman semula, menebang secara mosaic, iaitu secara satu pusingan, kita tebang di satu kawasan, tinggalkan. Bila dah tumbuh semula baru kita (kembali tebang).

“Tetapi, kita tak boleh tebang atau buat satu kawasan sahaja kerana nampak sangat (rosak), kita kena buat secara ‘pockets’ (berkala).

“Kami (kerajaan negeri), akan komited untuk mencari jalan menjadikan bumi kita ini supaya menjadi lebih lestari,” katanya lagi.

1/5