JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, hari ini menyelar cadangan seorang mufti supaya had umur minimum perkahwinan perempuan diturunkan kepada 14 tahun.

Dalam satu kenyataan dimuat naik dalam laman Twitter rasminya, Tunku Ismail bertitah ia adalah tidak masuk akal sama sekali.

“Jadikan umur perkahwinan untuk kanak-kanak perempuan kepada 14 tahun sebagai sah? Apa yang sedang berlaku di negara ini? Ini betul-betul gila,” titah baginda.

Tunku Ismail turut memberi maklum balas terhadap komen yang diutarakan netizen dan memberitahu baginda akan membawa isu berkenaan ke Mesyuarat Majlis Raja-raja.

“InsyaAllah, saya rasa isu ini akan dibawa ke Majlis Raja Raja. Banyak lagi isu yang akan dibawa.

“Saya tidak mempunyai kuasa di negeri lain. Saya hanya boleh berkongsi pandangan tetapi di Johor perkara ini tidak akan berlaku,” titah baginda.

Kenyataan Tunku Ismail adalah susulan saranan yang dibuat Mufti Sabah, Datuk Bungsu@Aziz Jaafar semalam, yang tidak bersetuju had umur minimum perkahwinan dinaikkan kepada 18 tahun.

Aziz dipetik berkata, individu patut dibenarkan berkahwin awal sesuai dengan hukum syarak, malah mencadangkan had usia diturunkan kepada 14 tahun bagi remaja perempuan dan 16 tahun bagi lelaki – berita harian