MANJUNG: Barisan Nasional (BN) mampu meraih kemenangan majoriti 2/3 pada Pilihan Umum ke-14 nanti sekiranya wujud perpaduan utuh kalangan pemimpin serta ahli komponen parti.

Pengerusi Barisan Nasional Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata perkara itu tidak mustahil jika perpaduan dalaman yang merupakan pra-syarat untuk mencapai kemenangan tersebut dihayati setiap ahli.

Katanya dengan perpaduan yang utuh itu kesemua gerak kerja dan strategi untuk menawan hati pengundi dapat dilaksanakan dengan lancar dan baik sekaligus memberi kemenangan yang lebih baik buat BN berbanding PRU-13.

“Kemenangan 2/3 itu impian semua termasuk saya sendiri. Namun saya tidak mahu cakap besar, saya tidak suka begitu…itu pendekatan saya.

Tapi apa yang disebutkan oleh TPM, kalau kita ikuti benar-benar apa yang dia cakap, kita boleh capai kemenangan besar dengan syarat gerak kerja yang mantap, strategi baik dan paling penting kesatuan dalaman yang kuat,”katanya kepada selepas menyempurnakan perasmian Dewan Amanjaya di Seri Manjung dan bersama-sama masyarakat dalam Kenduri Rakyat di sini,hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang meletakkan harapan kemenangan 2/3 kerusi peringkat Dewan Undangan Negeri di semua negeri.

Bercakap perkembangan sama, Dr Zambry yang juga Menteri Besar Perak memberi jaminan manifesto PRU-14 yang akan dilancarkan tidak lama lagi adalah sesuatu yang bersifat realistik.

Kata beliau BN sentiasa memastikan manifesto itu boleh dilaksanakan tidak seperti pembangkang yang berani mengeluarkan janji secara melulu tanpa membuat penilaian teliti sekiranya ia mampu direalisasikan.

Katanya dalam konteks BN hanya perkara yang boleh diterima serta boleh dilaksanakan akan digunakan dalam manifesto.

“Kita tidak mahu menjanjikan sesuatu semata-mata untuk meyakinkan rakyat atau hanya bagi tujuan pilihan raya tetapi tak dapat laksanakan.

“Ini telah dibuktikan semasa PRU ke-13 lalu, ada di antara manifesto yang kita umumkan sedang bergerak, ada yang telah kita lunaskan. Kesemua ini adalah apa yang kita isytiharkan,” kata Menteri Besar Perak itu.

Beliau memberi contoh salah satu manifesto semasa PRU-13 adalah menjadikan Pangkor sebagai pulau bebas cukai yang mana janji itu telah pun direalisasikan berikutan keluluskan daripada kerajaan Persekutuan