IPOH: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) kesal kerana masih terdapat masjid dan surau di negeri ini tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila melakukan solat jemaah melebihi bilangan yang telah ditetapkan.

Sehubungan itu, Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin menyeru semua jawatankuasa kariah masjid dan surau agar mematuhi PKP yang telah dikeluarkan.

Menurutnya, patuh kepada pemerintah adalah satu kewajipan.

“Solat jemaah adalah fardu kifayah, menghindari kemudaratan adalah kewajipan, kita bukannya golongan Jabariah, taqwa kita bukan berserah.

“Bahaya dan kemudaratan telah diketahui namun terdapat di antara umat masih tidak memahami.

“Wajarkah kita menzalimi diri sendiri atau menzalimi orang lain. Semoga dapat dibezakan dengan penuh kesedaran dan ilmu,” katanya menerusi kenyataan dalam Facebook JAIPk hari ini.

Sebelum ini, JAIPk telah mengeluarkan arahan bahawa sepanjang tempoh PKP, hanya imam, bilal dan siak bertugas sahaja dibenarkan bersolat di masjid atau surau di negeri ini.