TAPAH – Pendekatan yang diambil oleh pentadbiran kerajaan negeri yang baharu bukan bersifat menghukum, sebaliknya menitikberatkan kewajaran dan kesan dari pelbagai sudut, kata Menteri Besar, YAB Ahmad Faizal Azumu.

Menurutnya kerajaan yang ada hari ini bukanlah kerajaan yang mendapat takhta memerintah dengan merampas kuasa tetapi diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah.

Justeru, katanya, apa sahaja yang dilakukan kerajaan tidak perlu bersifat menghukum termasuklah tindakan memecat serta merta mereka dilantik kerajaan terdahulu.

“Kita buat sesuatu perkara dengan penuh timbang rasa, berhati-hati dan memikirkan pencapaian jangka masa panjang,

“Masalah yang berlaku dalam GLC ini saya kira lebih kepada pendekatan yang saya ambil di mana jika mereka masih ada kontrak sehingga contohnya hujung tahun ini tak payahlah kita segerakan, mungkin kita boleh habiskan ikut kontrak,” katanya selepas majlis perasmian Pusat Khidmat DUN Chenderiang di sini, petang tadi.

Beliau mengulas kenyataan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak menggesa individu yang menerima jawatan melalui lantikan politik kerajaan terdahulu agar mengundur diri secara terhormat dari pentadbiran.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal menasihatkan agar semua pihak mengamalkan politik yang lebih matang dan tidak terlalu tergesa-gesa menghukum setiap individu tanpa melihat keupayaan mereka.

“Namun demikian jawatan-jawatan yang penting contohnya sebagai Ketua Eksekutif GLC yang besar telah pun selesai cuma hendak selesaikan sampai pihak anak syarikat yang kadang-kadang tiada perniagaan pun, mungkin hanya ada elaun mesyuarat…saya fikir tidak perlu kita ambil tindakan terlalu tergesa-gesa.

“Walaupun saya mendapat maklumbalas untuk segera mengambil tindakan tapi saya fikir sebagai kerajaan yang bertanggungjawb saya perlu berhati-hati, jangan sampai bila ambil tindakan ia akan menyebabkan kerugian pada syarikat seperti terpaksa membayar baki bulan untuk elaun dan sebagainya,” ujarnya.

Menerusi kenyataan Exco AMK Perak, Muhammad Alif Asyraf Abdul Rahim baru-baru ini, berdasarkan penelitian pihaknya, kesemua mereka masih lagi memegang jawatan sekurang-kurangnya di 23 syarikat berkaitan kerajaan dan dua perbadanan.

Ujar Muhammad Alif, peralihan kuasa yang berlaku pad PRU14 di Perak telah membawa mesej penting bahawa rakyat tidak lagi mahu UMNO berada dalam pentadbiran kerajaan.