IPOH: Penduduk sekitar Sungai Rui di Hulu Perak tidak perlu panik kerana tahap pencemaran sungai itu masih rendah dan berdasarkan standard piawaian yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ia tidak mengancam keselamatan manusia.

Bagaimanapun, kerajaan negeri melalui pelbagai agensi yang berkenaan tetap mengambil langkah serius untuk mengawal dan memulihkan sungai itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, berdasarkan kajian yang telah dibuat, arsenik secara semulajadi wujud dalam tanah di daerah Hulu Perak.

Menurutnya, peningkatan kandungan arsenik dalam air sungai berkemungkinan berpunca daripada aktiviti penerokaan tanah seperti perlombongan bijih, hakisan tanah dan perladangan yang telah berlangsung selama lebih 100 tahun.

“Kita juga dimaklumkan bahawa aktiviti 2,000 pendulang berlesen dan haram di Sungai Pahit, di mana tindakan mereka menjalankan aktiviti mencuci bijih timah menggunakan bahan kimia juga turut menyumbang kepada pencemaran Sungai Hitam yang bersambung dengan Sungai Rui.

“Kajian juga mendapati aktiviti perlombongan bijih timah di antara lima hingga enam tahun lalu berkemungkinan menyumbang kepada pencemaran Sungai Rui yang bersambung dengan Sungai Perak,” katanya dalam sidang media khas di sini pada Rabu.

Bagaimana, kata beliau, ada dalam kalangan penduduk di sepanjang Sungai Rui yang telah hidup selama 70 dan 80 tahun tetapi tidak menunjukkan sebarang kesan sampingan.

Menurut Ahmad Faizal, memandangkan pencemaran itu melibatkan risiko keselamatan awam, kerajaan negeri telah menubuhkan sebuah jawatankuasa bertindak atau task force yang diletakkan di bawah bawah Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri.

“Kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untukmenghentikan mana-mana aktiviti ekonomi yang menyumbang secara terus kepada pencemaran alam sekitar di negeri Perak, khususnya di sepanjang Sungai Rui.

“Bagaimanapun, ia perlu di laukan dengan cermat dan penuh tanggungjawab supaya tidak menimbulkan keresahan dan keadaan panik rakyat.

“Untuk itu, kerajaan negeri akan mendapatkan laporan konklusif daripada pihak Institut Kajian Perubatan Malaysia sebelum membuat tindakan seterusnya,” ujar beliau.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, adalah penting untuk semua pihak tidak membuat sebarang kenyataan yang tidak berlandaskan kepada fakta yang tepat yang sekaligus menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat.