IPOH – Kerajaan Pakatan Harapan tidak perlu terburu-buru memberi pengiktirafan kepada Unified Examination Certificate (UEC) , kata

Pengerusi Jawatankuasa Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr. Abdul Aziz Bari.

Menurutnya satu kajian menyeluruh perlu dilakukan termasuklah dari pelbagai pihak berkepentingan supaya kepentingan Bahasa Melayu serta keharmonian kaum terus terjaga.

Kata beliau walaupun UEC merupakan salah satu senarai manifesto kerajaan baharu namun ia bukanlah manifesto 100 hari Pakatan Harapan.

“Ianya bukanlah janji 100 hari tetapi KPM sedia maklum bahawa pengiktirafan UEC sebagai kelayakan masuk ke universiti awam, tersenarai sebagai salah satu manifesto kerajaan baharu.

“KPM sedang menjalankan kajian yang menyeluruh, mengumpul pandangan daripada pelbagai pihak yang berkepentingan secara konsensus dengan mengambil kira kepentingan bahasa Melayu serta keharmonian kaum.

“Termasuk tidak menjejaskan perpaduan dan keharmonian antara kaum di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu berkaitan sama ada kerajaan negeri akan mengiktiraf UEC dalam sesi penggulungan di Sidang Dewan Undangan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Sementara itu, berkenaan pembinaan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di Manjung, Unit Perancang Ekonomi (EPU) telah meluluskan sebanyak RM 66.54 juta pada Julai 2017.

“Atas permintaan YAB Menteri Besar pada ketika itu, makmal pemurnian VM telah diadakan semula pada 8 Mac 2018 dan EPU meluluskan peruntukan sebanyak RM87.17 juta bagi menampung 750 pelajar lelaki dan perempuan termasuk 16 unit kuarters guru.

“Walaubagaimanapun, projek ini telah disenaraikan sebagai projek KPM yang ditangguhkan atau dibatalkan mengikut surat dari UPE bertarikh 7Jun yang telah dihantar.

“Sekiranya projek ini masih menjadi keperluan, KPM perlu memohon dalam RMK yang akan datang dan perlu dilakukan oleh Bahagian SBP di KPM dan bukannya dari JPN Perak,”katanya.