IPOH:Tiada keperluan untuk mewujudkan Mahkamah Perlembagaan di negara ini memandangkan fungsi Mahkamah Persekutuan sudah mencakupi bidang tugas mengendalikan isu-isu berkaitan perlembagaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong berkata demikian sebagai mengulas cadangan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, untuk kerajaan meminda Perlembagaan agar mahkamah itu dapat ditubuhkan.

“Sebenarnya mahkamah kita memang ada hakim-hakim yang boleh mengendalikan isu-isu perlembagaan, bagi saya sekiranya ada keperluannya saya rasa pihak mahkamah boleh berikan cadangan kepada kita (Kementerian).

“Tapi buat masa ini tidak ada keperluan untuk mengadakan Mahkamah Perlembagaan ini, terutamanya dalam mengendali isu-isu perlembagaan boleh dikendali oleh Mahkamah Persekutuan yang tertinggi.

“Di Mahkamah Persekutuan ini akan ada tujuh hakim sekiranya dia terlibat dengan isu perlembagaan yang amat penting kepada negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan lawatan kerja di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rendah, Jabatan Bantuan Guaman dan Jabatan Insolvensi Malaysia di sini pada Isnin.

Menerusi lawatan kerja itu, Liew turut meneliti aspek penambahbaikan di bangunan mahkamah, termasuk kemudahan infrastruktur yang kondusif untuk kegunaan kakitangannya.

Semalam ketika menjadi tetamu program bual bicara di Ipoh, Tengku Razaleigh berkata,Mahkamah Perlembagan perlu untuk membicarakan pelbagai isu berkaitan hak dan undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan yang mula menjadi polemik ketika ini.

Ujarnya, sudah ada pihak yang mempertikai kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan kewujudan Mahkamah Perlembagaan mampu menyelesaikan polemik berkenaan.